KENAPA DOA TIDAK MAKBUL
Yahya Bakeri
UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK
10 FEBRUARI 2016/1 JAMADIL AWAL 1437H
3.10PM
1.0 Pengenalan
Syekh Ibnu
Taimiyah dalam kitab Akidah Wasathiyah dan kitab Akidah at-Tahawiyah menyatakan
setiap manusia atau makhluk memang menjadikan doa sebagai amalan kehidupan.
Orang baik berdoa dan orang jahat juga berdoa. Orang baik memohon agar
kehidupan semakin baik dan sejahtera dunia dan akhirat. Seorang yang melakukan
kejahatan juga berdoa. Meminta pelindungan daripada Tuhan agar kegiatan jahat mereka
tidak diketahui orang. Ini menunjuk semua semua makhluk berdoa. Orang Islam
berdoa dan orang bukan Islam juga berdoa dengan cara masing-masing.
2.0 Sikap orang-orang beriman
Firman Allah SWT
dalam Surah Ghafir/al-Mu’min ayat 60
Dan Tuhan kamu berfirman:
"Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.
Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa
kepadaku, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina.
Orang-orang
beriman bersikap sentiasa berdoa. Allah SWT
pasti akan memperkenankan doa setiap yang berdoa kepadaNya. Sesiapa
sahaja yang meminta pasti akan diperkenankan. Itu janji Allah SWT kepada semua
makhluknya. Hanya terpulang kepada Allah SWT untuk bila dan masa dimakbulkan
doanya. Tetapi yang pasti sesiapa yang berdoa kepadaNya pasti akan
diperkenankan permohonannya. Mereka yang tidak menyembahNya dan berdoa
kepadaNya mereka itu sebenarnya sombong dan tempat mereka ialah neraka Jahannam
dalam keadaan hina.
Seorang yang tidak mempunyai agama
juga berdoa seperti Cat Stevens pernah menyatakan ketika beliau belum memeluk
Islam menyatakan bagaimana beliau boleh menerima Islam dalam hidup. Semasa
hampir lemas beliau pernah menyebut sekiranya selamat daripada lemas ini, beliau
akan cari kebenaran. Beliau menemui kebenaran dalam Islam. Manusia akan meminta
dan berdoa kepada TuhanNya dalam senang dan susah. Lebih-lebih lagi ketika
susah terutama apabila nyawa di hujung tanduk seperti berada dalam kapal
terbang di udara. Ketika ribut dan petir memancar dan kapal bergegar.
Masing-masing dalam ketakutan, masa itu setiap anak kapal ketakutan menyebut
dan berdoa mengikut kefahaman masing-masing. Ini menunjukkan semua berdoa.
Hanya cara berbeza.
3.0 Allah SWT Tidak Memperkenan Doa
Kenapa Allah SWT
tidak memakbulkan doa hambaNya? Pada hal Dia berjanji akan memakbulkan doa
hambaNya apabila berdoa. Ini janji Allah SWT dalam firmanNya dalam surah
al-Baqarah ayat 186
Dan apabila hamba-hambaKu
bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku
(Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang
berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku
(dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya
mereka menjadi baik serta betul.
Berdasarkan dalil ini
seorang muslim wajib berdoa walau dalam apa jua keadaan sekalipun dalam keadaan
tahap yang paling malas. Mereka mesti berdoa walau seringkas manapun doa
mereka. Sekalipun doa mereka seringkas ini
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
Ya Tuhan kami kurniakanlah kebaikan kepada di dunia dan juga di akhirat dan
jauhilah kami daripada azab api neraka. Sudah memadai kerana sesiapa yang tidak
mahu berdoa mereka itu golongan yang sombong.
Persoalannya adakah semua doa itu
diterima? Jawapannya ya semua doa diterima oleh Allah SWT sepertimana dalam
dalil di atas dengan syarat semua tuntutan dan adab berdoa dipenuhi. Dalam
hadis nabi Muhammad SAW yang diriwayat oleh Ahmad yang sanadnya sohih bahasa
Nabi SAW bersabda
مَا مِن
مُسْلِم يَدعُوْ بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيْهَا اِثْمٌ وَلاَ قَطِيْعَةِ رَحِمَ إلاَّ أَعْطَاهُ
اللهِ بِهَا اِحْدَى ثَلاَث : إِمَّا أنْ تُجْعَلَ لَهُ دَعْوَتِهِ وَإِمَّا أنْ
يَدْخَرَهَا لَهُ في الآخرَةِ وَإمَّا يَصْرَفْ عَنْهُ مِنَ السُّوْءِ مِثْلَهَا.
Tidaklah
seorang muslim berdoa yang dia tidak berbuat dosa dan tidak memutuskan hubungan
saraturrahim melainkan Allah SWT memperkenankan satu daripada tiga, sama ada
doanya diperkenankan secara terus atau ditangguhkan dan dimakbulkan semasa di
akhirat ataupun Allah SWT lindunginya dari kejahatan seumpamanya.
Kenapa
doa kita ditolak? Syekh Sa’id bin Wahab al-Quhtani dalam kitab beliau “Syurut
al-Dua’ wa Mawani’u al-Ijabah halaman
17-21 antaranya berliau menyatakan kerana terlalu mengambil mudah dalam
soal yang haram. Nabi SAW telah bersabda yang diriwayat oleh Ahmad menyatakan
كُلُّ لَحْمٍ نَبَتَ مِنْ حَرَامٍ فالنَّار أَوْلَى بِه
Setiap daging yang tumbuh
daripada yang haram, maka neraka lebih utama tempatnya.
Dalam hadis yang Nabi SAW
menyatakan yang diriwayat oleh Muslim
الرَّجُلَ يُطِيلُ
السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّماءِ يا رَبُّ.. يا رَبُّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ،
وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ؟
Seorang lelaki yang telah
lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya. Sehingga rambutnya
kusut masai dan berdebu. Orang itu menadahkan tangannya ke langit seraya
mendoa: "Wahai, Tuhan ku! Wahai, Tuhanku!" Padahal, makanannya dari
barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram, dan
dia diasuh dengan makanan yang haram, maka bagaimanakah Allah akan
memperkenankan doanya?"
Melihat hadis ini antara mereka yang mustajab doa ialah
orang yang bermusafir. Dalam hadis Nabi SAW terdapat 3 golongan yang doa mereka
mustajab yang diriwayat oleh Ahmad dan sanadnya Hasan oleh al-Albani
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ: دَعْوَةُ
الْمَظْلُومِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ
Tiga golongan dikabulkan doa
yang tidak diragukan lagi iaitu doa orang yang dizalimi, doa seorang musafir,
doa orang tua kepada anaknya.
Selain itu dalam hadis Muslim tentang adab berdoa ialah
penampilan diri yang kusut masai dan tidak terurus elok serta bersifat tawaduk
tidak memerlukan pakaian yang mahal untuk doa mereka dimakbul, cukup dengan
keadaan menutup aurat dan bersih. Menadah tangan ke langit sambil berdoa dengan
rayuan lembut tanpa berteriak kerana Allah SWT maha mendengar apa sahutan
hambaNya sambil disebut berulang-ulang dengan tulus ikhlas. Dari beberapa aspek
hambaNya ini sudah cukup syarat untuk doanya makbul, namun sebab makanan,
minuman dan pakaiannya haram, maka Allah SWT tolak doanya. Sekiranya semua
syarat itu dipenuhi, maka selayaknya doanya makbul oleh Allah SWT. Sebab itu
untuk makbulnya doa seorang mesti memilih makanan yang halal. Seorang hafiz
akan menjaga makanannya. Ini kerana makanan yang sumbernya diragui akan
mengganggu hafalannya. Sebagai contoh seorang hafiz hanya makan ayam yang disembelih
sendiri sahaja dan tidak mahu membeli ayam yang sudah sedia disembelih. Ini
bertujuan menjaga sumber makanan yang dimakan daripada sumber yang jelas halal.
Tidak seperti kebanyakkan muslim hari ini ada logo halal terus beli tanpa
menyelidik sumbernya. Sebab itu dalam masyarakat muslim sangat lemah hafalan
al-Quran yang hafiz sedikit dan yang hafuz ramai.
Dalam masa yang sama seorang yang mahu berdoa jangan
tergesa-gesa dan terburu-buru. Semua mahu segera. Kena berdoa dalam keadaan
tenang dan jangan sombong serta yakin doa akan dimakbulkan oleh
Allah SWT . Kesah seorang mak cik yang pergi ke Mekah dalam tahun 2003. Mak Cik
ini pergi ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji. Mak cik ini iltizam
sungguh-sungguh untuk berdoa kepada Allah SWT supaya kakinya yang tempang jadi
lurus balik dan dapat berjalan seperti orang lain. Setelah selesai wuquf dan
kini tiba bermalam di Mina. Sepanjang menunaikan ibadah haji mak cik ini tidak
putus berdoa kepada Allah SWT agar kakinya sihat sedia kala. Sehingga tiba masa
untuk melintar jamarah al-Qubra di Mina. Mak cik ini berjalan seperti biasa
dengan para jemaah lain menuju jamarat. Ketika berjalan rakannya menegur mak
cik yang mak cik berjalan seperti orang lain. Tidak seperti orang yang tempang.
Mak cik cuba praktik berjalan memang betul dah tak tempang. Inilah doa mak cik
bersungguh-sungguh lagi sepanjang haji. Allah SWT telah perkenankan doa mak cik
ini secara terus.
4.0 Allah
SWT Tangguh Doa Dimakbulkan
Dalam kalangan kita ada yang
doa mereka terus dimakbul dan ada juga doa mereka ditangguh atas ketentuanNya.
Sesungguh Dia lebih mengetahui. Tetapi yang pasti doa apabila cukup syarat
pasti akan diperkenankan. Namun setiap perkara ada hikmahnya. Antara mereka
berdoa agar disegerakan jodoh. Namun Allah SWT lambatkan jodohnya atau
sepenjang hayatnya tiada.
Sehingga ada menyanyi lagu
sedih
Dari musim durian sampai
musim rambutan
Tidak ku temu jodoh yang ku
inginkan
Dari Timur sampai ke Barat
masih dalam pencarian
Wahai ibu-ibu bapa-bapa siapa
yang punya anak tolong bilangkan
Jadikanlah aku menantu mu,
ku tak kesah berapa sahaja hantaran.
Ada yang lebih sedih sampai
berpantun
Beli penganan di Pekan
Pahang
Minat pengantin juadah bubur
Hati berkenan tunangan orang
Niat berkahwin sudah terkubur.
Ke baruh seorang jalan
ditambak
Nampak musang tupai berpesta
Jodoh datang jangan ditolak
Kelak membujang sampai ke
tua
Belalang di pintu bunga di laman
Manggis seperdu bunga menjadi
Malang nasibku tiada berteman
Mengemis rindu pada yang
sudi
Gula dan beras sajian hidangan
Meratah ikan tetamu disuruh
Rupa dan paras bukan ukuran
Biarlah beriman bertemu
jodoh.
Hanya sekadar bersendeloka,
jangan terasa hati dan gundah gulana, minta maaf dan terima kasih.
Seorang wanita Sufi, iaitu
Rabiatul Adawiyah ketika pergi ke pelabuhan
dan mahu berlayar ke suatu tempat. Semasa mahu laut bergelora ribut
bertiup kencang sehingga semua penumpang kapal dalam ketakutan. Dalam kelam
kabut mereka menemui seorang wanita sufi, iaitu Rabiatul Adawiyah. “Wahai
Rabiatul Adawiyah kami dengar doamu makbul, tolong doakan agar laut jangan
bergelora dan angin taufan berhenti agar kita cepat berlayar”. Lalu Rabiatul
Adawiyah berpusing muka dan tunduk. Selepas itu laut bergelora kembali tenang
dan angin kembali seperti sedia kala. Mereka bertanya kepada Rabiatul Adawiyah;
apakah yang menyebabkan doamu bergitu mustajab? Jawab Rabiatul Adawiyah saya
tidak berbuat apa-apa cuma saya redha dengan apa yang berlaku.
Jadi dengan redha kepada Allah SWT terhadap apa-apa yang
telah berlaku Allah SWT boleh memperkenankan doa seseorang. Jika mahu doa
mustajab redhalah dengan apa yang telah berlaku. Dalam masa yang sama sabar
dalam menghadapi ujian. Redha dengan apa yang telah berlaku fikirkanlah apa
yang akan berlaku. Rancang dengan baik agar kesilapan jangan berulang. Jangan
sekali-kali berkalau-kalau dengan apa yang telah berlaku. Redha dengan takdir.
Hal ini dijelaskan oleh Nabi SAW dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh
Muslim
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ
رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ
الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ وَفِي
كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ
وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا
وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ
الشَّيْطَانِ
Dari Abu
Hurairah r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, Mukmin yang kuat lebih baik dan
lebih dicintai Allah daripada Mukmin yang lemah, dan pada keduanya ada
kebaikan. Bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan apa yang bermanfaat bagimu
dan mintalah pertolongan kepada Allah (dalam segala urusanmu) serta janganlah
sekali-kali engkau merasa lemah. Apabila engkau tertimpa musibah, janganlah
engkau berkata, Seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan begini dan
begitu, tetapi katakanlah, Ini telah ditakdirkan Allah, dan Allah berbuat apa
saja yang Dia kehendaki, karena ucapan seandainya akan membuka (pintu)
perbuatan syaitan.
5.0 Sebab
Doa Ditolak
Doa akan ditolak disebabkan
melakukan maksiat yang jelas haram, iaitu melakukan sihir, tilik nasib,
bermusuhan, minum arak, derhaka dengan orang tua, makan duit riba, memutuskan
hubungan saraturrahim dan suka mengadu domba. Doa mereka ini Allah SWT tidak
akan pandang. Sekalipun mereka ini memakai serban yang besar, berjubah yang
nampak sangat alim. Asbab maksiat yang mereka lakukan Allah SWT tolak semua
permohonan mereka. Ada seorang wanita mengadu yang suaminya kaki judi dan arak.
Hari-hari main judi dan minum arak. Bila kalah judi balik rumah pukul saya dan
anak-anak sebagai tempat melepas geram. Saya sangat sengsara hidup begini. Saya
sudah tidak tahan. Lalu saya bawa masalah saya ini kepada bomoh. Saya mahu
jadikan suami saya seorang yang taat dengan mendengar kata. Lalu saya meminta
suami saya disihir dengan memberi makan nasi kakang. Hasilnya suami saya
berubah serta merta daripada seorang yang kaki judi dan minum arak. Dia jadi
orang dengar kata. Dia kini tidak lagi berjudi dan minum arak. Dia ikut semua
kata. Dia tidak pukul saya dan anak-anak. Cuma suami saya macam orang bodoh,
ikut semua kata saya. Saya suruh makan nasi. Dia makan nasi sahaja lauk pauk
semua dia tidak peduli. Saya suruh dia minum air, dia minum air sahaja
sampailah saya suruh yang lain. Hari-hari saya suruh dia bergerak ikut bergerak
ikut arahan. Tanpa arahan dia akan duduk dan diam sehingga disuruh yang lain
baru bergerak. Perkara ini dah berlaku dah beberapa tahun sehingga sekarang.
Sekarang saya sudah insaf dan tidak mahu suami jadi sebegini selamanya. Saya
sudah pergi kepada nenek yang saya suruh sihirnya. Malangnya nenek itu sudah
meninggal.
Orang yang melakukan sihir ini tidak akan diterima doanya
sehingga dia bertaubat. Tidak kira dia buat sihir dengan musuh politik, kekasih
dan sebagainya. Doa mereka ditolak oleh Allah SWT. Sebab itu jika mahu doa
dimakbulkan oleh Allah SWT pastikan kita memenuhi syarat yang telah ditetapkan.
6.0 Penutup
Sesungguhnya Allah SWT Maha
Pengampun dan Maha Pengasih. Semua doa dan permintaan hambaNya pasti akan
diperkenankanNya jika cukup syarat yang telah ditetapkan. Tiadalah Allah SWT
melupai hambaNya walau sedetikpun, yang selalu lupa kepadaNya ialah hamba.
Lebih-lebih lagi ketika diberikan kesenangan dan kemewahan. Walau sebesar
manapun dosa seorang hamba pasti akan diampunkan oleh Allah SWT. Bertapa
besarnya kasih sayang Allah SWT kepada semua. Allah SWT akan mengampun semua
dosa hambaNya kecuali dosa syirik. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam
firmanNya dalam surah an-Nisa ayat 48
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik
mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang
lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). dan
sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka Sesungguhnya
ia telah melakukan dosa Yang besar.
No comments:
Post a Comment