Soal Mati & Rezeqi
Yahya Bakeri
Universiti Malaysia Sarawak
1.0
Pengenalan
Kematian
tetap akan datang tiada siapa yang terlepas daripada kematian. Kehidupan dunia
ini tiada yang kekal malah akan musnah menunggu masa sahaja setiap yang ada. Kematian
dan rezeqi telahpun ditetapkan oleh Allah SWT. Namun manusia diberi peluang
untuk berusaha dan berdoa sebab setiap kita tidak tahu apa rezeqi dan bila masa
kematian. Kerana tidak tahu inilah manusia perlu berdoa dan berusaha agar
setiap rezeqi yang ada akan bertambah dan bila kematian, kematian itu dalam
sebaik-baik kematian. Sekalipun telah ditetapkan namun tiada yang tahu apa
keputusan ketetapan itu. Semua itu atas kemahuan dan kehendak Allah SWT kepada
hambaNYA. Inilah tanda keimanan yang jitu kepada Allah SWT.
2.0
Paling Dekat Itu Mati
Hakikatnya
kematian itulah yang paling dekat dengan yang hidup. Sebab tiada yang tahu bila
mereka mati. Semuanya atas ketetapan Allah SWT. Sebab itu kita diperintahkan
melakukan kebajikan sebanyak-banyak sebelum datang kematian. Bila sudah mati
terputus semua peluang untuk mereka bertaubat melainkan apa yang telah
dinyatakan dalam hadis sohih riawayat Muslim
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ
انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا
مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ
يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad
SAW bersabda: Apabila seorang anak Adam
mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang
memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.
2.1
Sedekah Jariah
Segala
bentuk sedekah bahan yang dikeluarkan oleh si mati semasa hayatnya termasuklah
sedekah wang, makanan, harta benda dan dalam katogeri ini termasuk juga harta
yang di waqafkan oleh si mati semasa hidupnya. Sebagai contoh seseorang itu mendirikan
surau untuk kegunaan masyarakat setempat. Selagi mana surau itu dimanfaatkan
selagi itulah pahala mengalir untuk si mati. Orang yang hidup atau waris boleh
juga bersedekah bagi pihak si mati tak kiralah samaada sedekah itu hasil dari
wang, harta, peninggalan si mati atau wang waris sendiri. Perkara yang penting
ialah niat kita untuk bersedekah bagi pihak si mati. Oleh itu kita sangat
digalakkan berwaqaf. Kerana manfaat dan hasil waqaf sangat besar dalam Islam. Waqaf
tidak semestinya tanah dan nilai jumlah yang banyak. Waqaf yang sangat mudah
ialah waqaf duit. Wakaf duit lebih mudah kepada semua orang, termasuk mereka
yang menguruskan wakaf dan senang dicairkan berbanding yang harta waqaf yang
lain.
2.2
Doa Anak yang Soleh
Doa
daripada anak yang soleh sangat penting. Inilah harta peninggalan yang sangat
bernilai yang tiada yang lainnya. Harta boleh dicari dan diusahakan serta lebih
mudah untuk mendapatkannya. Namun untuk mendapat kurniaan anak yang soleh
memerlukan mujahadah dan usaha yang berterusan berdoa, membimbing dengan penuh
keikhlasan agar mencapai matlamat. Ini bukan tugas mudah sebab iman dan takwa
tidak dapat diwarisi tidak dapat dijual beli. Apa yang perlu dilakukan oleh ibu
bapa ialah usaha yang berterusan berteraskan sunnah dan jangan berputus asa
untuk berdoa. Setelah semua usaha dan doa dilakukan serahkan urusan itu semua
kepada Allah SWT.
Selain
dari doa anak-anak yang soleh terhadap ibubapanya, doa antara sesama kaum
muslimin pun bermenfaat untuk si mati. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam
surah al-Hasyr ayat 10
Dan
orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan)
berkata: Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami
yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati
perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan
kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmatMu.
2.3 Ilmu yang Bermanfaat
Ilmu yang bermanfaat ialah semua
ilmu yang diajarkan kepada orang lain dengan ikhlas akan terus mengalirkan
pahala baginya, walaupun telah meninggal, sebagaimana dalam sabda Nabi Muhammad
SAW yang diriwayat oleh Muslim daripada Abu Hurairah
مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ
مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ
شَيْئًا
Barangsiapa
yang berdakwah kepada petunjuk (kebaikan) maka dia mendapatkan pahala seperti
pahala yang mengikutinya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun.
3.0
Rezeqi itu Pembarian Allah SWT
Urusan rezeqi
ialah urusan Allah SWT. Dia yang menentu dan memberikan makhluk rezeqi kepada
sesiapa yang Dia kehendaki. Ramai dalam kalangan kita yang takut dengan dengan
terputusnya rezeqi apabila dikehendaki menyatakan kebenaran dan berhenti mencari
rezeqi untuk menunaikan solat. Sebagai contoh manusia risau jika tidak turun ke
laut pada hari Jumaat mereka akan terlepas untuk memproleh tangkapan yang
banyak. Sebab pada kebiasaannya pada hari Jumaat berbanding hari yang lain
tangkapan ikan lebih lumayan. Inilah ujian yang Allah SWT tetapkan kepada
manusia yang beriman. Adakah mereka mencintai Allah SWT lebih atau mereka
mencintai harta? Dalam Islam harta bukanlah dinilai jumlahnya tetapi harta
dinilai keberkatannya. Harta yang banyak belum tentu cukup.
Perkara ini telah Allah SWT rakamkan dalam
al-Quran bagaimana orang-orang Yahudi dahulu diarah berhenti menangkap ikan
pada hari Sabtu seperti yang diterangkan dalam surah al-A’rāf ayat 163
Dan
bertanyalah kepada mereka (Wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang
letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika
datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada)
mereka, yang kelihatan timbul di muka air sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan
itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan
cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.
4.0 Kesimpulan
Hakikatnya
kematian dan rezeqi adalah ketentuan dan pemberian Allah SWT. Semua atas
kehendak dan kemahuannya. Untuk beroleh rezeqi manusia hendaklah berusaha
mendapatkannya, tanpa putus asa. Dalam waktu yang sama, jangan lupa untuk terus
berdoa dan berharap hanya kepada Allah SWT serta mengikut segala perintahNya. Dia
pemberi rezeqi dan penarik kembali rezeqi. Dia maha pemurah dan maha penyayang,
mohonlah dan mintalah kepadaNya apa sahaja. Yakinlah Dia akan memperkenankan
setiap permintaan hambaNya seperti yang telah janjikan.
No comments:
Post a Comment