Menyingkap Peristiwa Hijrah dan Hibrahnya
Yahya Bakeri
Pusat Pengajian Bahasa
UNIMAS
1.0
Pengenalan
Firman Allah swt:
الَّذِينَ
آَمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ
وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ
هُمُ
الْفَائِزُونَ
"Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar derajatnya disisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan." (At-Taubah:20)
Hijrah adalah kalimah yang sinonim dengan iman dan jihad. Ketiga-tiganya tidak boleh dipisahkan sama sekali. Tegasnya, hijrah itu dilaksanakan atas dorongan iman dan berjihad di jalan Allah. Ketiga-tiganya menuntut pengorbanan yang besar dari segi harta (masa dan tenaga) serta jiwa. Tidak ada hijrah tanpa pengorbanan. Pengorbanan itu bukan untuk kepentingan diri dan orang lain semata-mata, tetapi untuk mendapat rahmat dan keredaan Allah.
Peliknya, kita sering mendengar ungkapan seperti:
"Kita mesti hijrah menuju kejayaan." "Bangunkan ekonomi kita dengan semangat hijrah."
Ya, benar kita perlukan
kecemerlangan dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain, namun
usaha itu sama sekali tidak boleh disifatkan sebagai hijrah sekiranya faktor
iman dan Islam tidak dijadikan dorongan, penentu, pemantau dan panduan dalam
mencapainya. Tanpa iman dan Islam menjadi niat dan jalannya maka apakah bezanya
pencapaian kita dengan individu, masyarakat dan negara-negara bukan Islam?
Mereka menjadi kaya, maju dan kuat tanpa menjadikan akidah, syariat dan akhlak
sebagai landasan.
2.0 Maksud
Hijrah
Hijrah tidak boleh dikaitkan
berpindah daripada suasana miskin kepada kaya semata mata. Ini kerana seorang
sahabat Rasulullah SAW – Suhaib Ar Rumi RA bertukar daripada kaya kepada miskin
akibat berhijrah. Ibnu Hisyam meriwayatkan
bahwa ketika Suhaib r.a ketika mahu berhijrah,
kafir Quraisy berkata kepadanya, "Ketika dulu kamu datang kemari, kamu
sangat miskin dan dipandang sebelah mata. Kini kamu kaya raya. Kami tidak akan
relakan kamu pergi membawa kekayaanmu." Suhaib r.a menjawab, "Jika
kuberikan semua kekayaanku kepada kalian, mahukah kalian relakan aku pergi?". Kafir Quraisy menyetujuinya.
Suhaib r.a
menyerahkan semua hartanya kepada mereka dan berhijrahlah ke Madinah. Mengetahui
hal ini Rasulullah SAW bersabda "Suhaib telah melakukan pertukaran yang
menguntungkan dirinya. Sungguh, Suhaib benar-benar telah melakukan pertukaran
yang menguntungkan dirinya." Bukan beliau sahaja yang berbuat demikian,
malah ada dalam kalangan sahabat baginda yang melakukan perkara yang sama seperti
hartawan-hartawan Islam Abu Bakar Assiddiq, Uthman ibn Affan, Abdul Rahman bin
Auf dan lain yang kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang apabila seluruh aset
dan gedung perniagaan mereka terpaksa ditinggalkan di Makkah apabila mereka
berhijrah ke Madinah.
Hijrah
juga tidak boleh dikaitkan dengan perjuangan meninggikan status sosial. Ini
kerana Mus'ab bin Umair r.a seorang lelaki bangsawan yang ternama, bertukar
menjadi mujahid yang akhirnya mati syahid dalam keadaan tidak cukup kain kafan
untuk menutup jenazahnya. Lihatlah betapa ramainya orang-orang besar Quraisy
yang memeluk Islam rela membuang status
sosialnya apabila mereka rela makan minum, tidur baring dan hidup bersaudara
dengan golongan bawahan yang dulunya adalah kaum pendatang dan hamba abdi.
Hijrah
memang bererti perpindahan, tetapi bukan semua perpindahan boleh disifatkan
sebagai hijrah. Hanya perpindahan atau perubahan yang diniatkan kerana iman dan
Islam sahaja layak dinamakan hijrah. Ini diterangkan oleh hadis berikut: Dari
Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda :
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا
يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ
يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا
هَاجَرَ إِلَيْهِ
Bahawa amalan-amalan itu adalah (
bergantung ) kepada niat dan bagi setiap manusia itu apa (balasa ) yang
diniatkannya. Maka barang siapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka
hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barang siapa yang berhijrah
kerana dunia yang ingin ia memperolehnya atau kerana seorang perempuan yang
ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah
kerananya.
Hijrah
walaupun dilihat pada mata kasar seolah-olah berundur, tetapi sebenarnya tidak.
Ia adalah langkah berundur untuk melonjak lebih jauh. Pelaksanaan Islam selepas
hijrah menjadi lebih syumul daripada soal menegakkan akidah, syariat serta
akhlak di peringkat diri dan keluarga kepada pelaksanaan sistem pemerintahan,
pendidikan, ekonomi, pertanian dan lain-lain lagi di peringkat masyarakat dan
negara. Justeru, hijrah adalah syarat untuk mendapat kemenangan. Tanpa hijrah
umat Islam akan kalah. Inilah yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah
atTaubah ayat 20:
الَّذِينَ
آَمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ
وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ
Orang-orang
yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa
mereka, lebih besar derajatnya disisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang
mendapat kemenangan.
3.0 Hijrah Cara Rasulullah SAW
Islam telah diperjuangkan di
peringkat yang lebih global dan holistik hanya selepas Rasulullah SAW
berhijrah. Semenjak itu jugalah posisi Islam yang mulanya berada di bawah
(ditindas) mula beralih ke atas (memayungi dan menaungi). Atas dasar itulah, Umar
al-Kattab r.a memilih untuk berhijrah sebagai detik bermulanya kalendar Islam.
Ia telah dipilih sebagai mercu tanda bermulanya kemenangan Islam. Agar dengan itu setiap kali menyambut tahun baru Islam
umat Islam akan mengimbau detik kemenangan itu sebagai aspirasi mencipta
kemenangan baru.
Hijrah digerakkan oleh pemikiran
strategik, rohani yang bersih, persiapan fizikal dan material yang ampuh, emosi
yang tenteram dengan bantuan Allah menerusi tentera-tenteraNya yang di langit
dan di bumi. Ia bukan sahaja perjalanan merentasi Makkah dan Madinah tetapi
hakikatnya merentasi sejarah. Ia adalah satu kebangkitan yang merentasi masa
dan ruang (time and space) generasi
semasa dan sesudahnya.
Tahap pertama perjuangannya di
Makkah baginda terlebih dahulu membina kekuatan iman dan takwa dalam diri
pengikutnya. Di peringkat ini fokus Baginda hanyalah pada pembinaan kekuatan
dalaman. Ketika ini walaupun ada serangan dalam bentuk fizikal hingga ke
peringkat membunuh, Rasulullah tidak melawan walaupun ada sahabatnya yang
terkorban.Untuk meredakan penyeksaan yang ditanggung oleh sahabat-sahabatnya, Baginda
mengarahkan beberapa orang sahabatnya hijrah ke Habsyah dan beberapa tahun
kemudian Baginda sendiri hijrah ke Madinah. Pada peringkat awal di kota Madinah
baginda memulakan beberapa langkah penting dan besar di tahap kedua.
Untuk pengukuhan ilmu, iman dan amal secara berterusan dibinanya
masjid pusat pembinaan kekuatan rohaniah. Untuk kekuatan ukhwah,
dipersaudarakannya golongan Muhajirin dan Ansar. Untuk menyatukan seluruh
penduduk Madinah yang Islam dan bukan Islam dengan dimetrainya Piagam Madinah
yang menjamin keamanan dan sistem pertahanan bersama. Kekuatan ekonomi mula
dibina dan sistem hidup yang memerlukan pelbagai kepakaran mula diterokai .
Sistem pembukaan pasar baru dan pembinaan parit, kebun, sistem perparitan dan
kebersihan kota mula dilaksanakan. Tiga atau empat tahun kemudian,
apabila kekuatan Islam mula terserlah dan musuh terus mencabar, barulah
Rasululah mengangkat senjata dan berlakulah beberapa siri peperangan yang
bersifat defensif. Mula-mula Badar, kemudian Uhud, Khandak dan siri-siri
peperangan yang lain. Keberanian dan kepakaran dalam bidang ketenteraan tidak
menggangu kecintaan Rasulullah s.a.w. kepada perdamaian. Lalu berlakulah
perjanjian Hudaibiyah. Rasulullah SAW berani berperang dan berani berdamai dan dalam
kedua-dua keadaan tersulam satu kebijaksanaan, kejujuran dan kekuatan yang
sukar ditandingi. Akhirnya Makkah
berjaya dibebaskan dan Islam tersebar di
seluruh Jaziratul Arab.
Itulah langkah-langkah yang
produktif dan konstruktif sebaik berlakunya peristiwa hijrah. Hijrah merupakan
satu tahap berlakunya "turing point" (titik peralihan) dan
"turning over" (titik perubahan) dalam perjuangan Islam. Hijrah yang
telah berlaku hampir 1433 tahun yang lalu itu hakikatnya terus signifikan dan
relevan untuk dijadikan asas dan teras dalam pemikiran, pertimbangan, keputusan dan
tindakan umat Islam masa kini.
4.0 Sifat-sifat
Hijrah
Maal Hijrah ertinya "bersama hijrah." Bersama hijrah bukan bermusim dan terhad sifatnya. Sambutan yang dibuat saban tahun tidak akan bermakna sekiranya ibrah dan hikmah di sebalik hijrah tidak terserlah. Ia akan terus menjadi ritual yang tidak membangunkan spiritual umat bersama hijrah bermaksud mempelajari, memahami, menghayati dan mengamalkan dan memperjuangkan iman dan Islam berdasarkan resipi yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Hijrah yang menjadi tuntutan secara berterusan ialah berpindah atau berubah daripada buruk (jahat) kepada yang baik. Ukuran baik atau buruk itu dibuat berdasarkan perspektif iman dan Islam. Bersama hijrah dalam erti kata yang lebih luas ialah sentiasa berubah kepada Islam dan iman yang lebih baik sama ada untuk diri, keluarga, organisasi, masyarakat mahupun negara kita bersama hijrah juga bermaksud sentiasa melakukan perubahan ke arah memperkukuhkan Islam secara istiqamah dan total. Hijrah diri, ialah sejauh mana diri diubah ke arah yang lebih baik dan mantap dari sudut akidah, syariat dan akhlak. Hijrah diri itu perlu diteruskan ke peringkat keluarga, organisasi dan masyarakat.
Manakala hijrah negara pula merangkumi hijrah sistem
ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain
sistem kehidupan ialah sejauh mana
semuanya mampu memperkukuhkan iman dan Islam kita untuk memberi keamanan dan
kemakmuran kepada orang Islam dan bukan Islam kaedah yang dibuat oleh Rasulullah SAW di
negara Islam Madinah dahulu. Untuk melakukan hijrah yang menyeluruh itu, semua
pihak mesti berperanan. Kenali watak dan peranan wira-wira hijrah yang mampu
dan sesuai untuk diteladani. Pilihlah, sama ada untuk meneladani:
• Kesetiaan dan kemurahan hati Sayidina Abu Bakar (menyediakan keperluan logistik dan teman karib kepada Rasulullah SAW).
• Keberanian dan amanahnya Sayidina Ali (berselimut di tempat tidur Rasulullah SAW dan memulangkan kembali harta orang ;lain yang diamanahkan kepada Rasulullah SAW).
• Kecekapan Asma binti Abu Bakar (menyediakan makanan).
• Sifat murah hati Ummu Maabad (rela kambingnya diperah susu untuk memberi minum dalam perjalanan Rasulullah SAW dan Sayidina Abu Bakar).
• Kesal dan akurnya Suraqah (yang mulanya menentang tetapi akhirnya tunduk dan yakin kepada kemenangan Islam).
Islam kini menagih hijrah justeru nasibnya yang dagang seperti mana ia bermula. Apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW telah benar-benar berlaku. Rasulullah SAW bersabda: "Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing". H.R. Muslim
5.0
Kesimpulan
Jadilah orang beruntung yakni orang yang bersiap sedia untuk melakukan hijrah satu langkah yang sangat diperlukan masa kini. Perkukuhkanlah iman dan lakukanlah hijrah setiap masa, di mana sahaja dan di posisi mana pun kita berada. Sentiasa ada set minda hijrah di dalam diri kita yang menyebabkan apa sahaja yang kita fikir, rasa, buat dan laksanakan adalah ke arah Islam dan iman yang lebih baik.
Setiap diri berfikir untuk menghijrahkan hati, akal, nafsu,
emosi dan fizikalnya ke arah iman dan
Islam. Ibu bapa berfikir bagaimana menghijrahkan keluarganya. Guru-guru dan
pensyarah bertanggung jawab menghijrahkan sekolah dan universitinya. Imam hijrah dengan anak-anak kariahnya. Para
Pelajar menghijrahkan diri dan rakan-rakannya kearah yang lebih dan rajin untuk
menuntut ilmu. Pemimpin masyarakat menghijrahkan kampung, mukim, bandar dan daerah. Begitu juga
dengan ADUN. Tokoh-tokoh korporat, menteri-menteri pula berperanan memimpin
armada hijrah yang lebih besar dan luas lagi. Inilah pra syarat untuk mencapai
kejayaan. Bantuan Allah akan sentiasa bersama kita jika kita bersama hijrah.
dengan syarat kita berhijrah dengan tenaga,
harta, masa dan jiwa kerana Allah SWT dalam surah an-nahl ayat 41.
Dan orang-orang yang berhijrah karena Allah sesudah mereka dianiaya, pasti Kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. Dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui.
No comments:
Post a Comment