Thursday, September 24, 2015

Berkorban Kerana Allah



Berkorban Kerana Allah
Yahya Bakeri
Universiti Malaysia Sarawak

1.0  Pengenalan

Berkorban kerana Allah SWT ialah mengorbankan apa yang disukai disayangi dan dicintai kerana Allah SWT tanpa mengharapkan apa-apa balasan dunia. Harapan hanya ganjaran akhirat yang dianugrahkan oleh Allah SWT kepada hambaNya, iaitu balasan syurga sahaja. Seorang individu apa bila ikhlas kerana Allah SWT dalam apa sahaja yang dilakukan, mereka akan lakukan bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan pujian daripada makhluk. Mereka yang melakukan ini kerana Allah SWT, apa sahaja yang melibatkan keduniaan tidak akan menghalang mereka untuk melakukan perkara baik sekalipun ada dalam kalangan manusia dengki, menghina dan menghalang mereka.

2.0  Pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail

Contoh pengorbanan yang begitu tulus ialah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s. Pengorbanan yang tiada tolok bandingannya dalam sejarah peradaban manusia. Allah SWT memerintahkan nabi Ibrahim a.s agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Anak yang sangat disayangi, yang ditunggu sekelian lama untuk mendapatkan anak daripada zuriat sendiri. Anak yang ditatang penuh ditunggu sekelian lama diharapkan, namun kini diperintahkan agar disembelih atas perintah yang lebih dicintai daripada diri sendiri dan keluarga. Kesah pengorbanan yang tulis ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmanNya dalam surah As Saafaat 101-111.

101. Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.
102. Maka ketika Anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa Aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".
103. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - Dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami).
104. Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!
105. "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
106. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;
107. Dan Kami tebus Anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;
108. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian.
109. "Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!".
110. Demikianlah Kami membalas orang-orang yng berusaha mengerjakan kebaikan.
111. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.

        Keyakinan yang luar biasa yang ditujukkan oleh nabi Ibrahim dan anaknya Ismail a.s, menjadi teladan kepada pengorbanan yang tulus ikhlas kerana Tuhannya. Ketaattan kepada Tuhannya lebih besar nilainya dengan yang lain. Pengorbanan yang jitu, ikhlas tanpa ragu dan yakin dengan Allah SWT. Semangat untuk mengikut perintah Allah SWT lebih besar nilainya. Setiap muslim semestinya mempunyai nilai dan semangat sanggup berkorban yang tinggi. Ini kerana, muslim yang lemah nilai pengorbanannya akan mudah rosak dan tergoda dengan janji manusia yang lebih dunia daripada yang lain. Inilah jati diri seorang muslim, sekali pun pelbagai godaan dunia tidak akan melemahkan semangat untuk melakukan yang terbaik kerana mereka tahu ganjaran akhirat lebih daripada segala-galanya.

      Individu muslim sentiasa bersedia jasmani dan rohani untuk menghadapi apa sahaja cabaran kehidupan. Mereka tidak leka perintah Allah SWT. Apa bila lupa mereka mengingat antara yang lain agar tidak alpa dan lalai dengan dunia. Mereka melupai dunia, tetapi menjadikan dunia sebagai alat untuk mendapat kebahagian akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Kawshar ayat 1-2
     
1. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (Wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di Akhirat).
2. Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

      Seorang ilmuan Abdul Rahman ibn as-Sa’diy, iaitu seorang ilmuan tafsir menyatakan dalam kitabnya Taisir al-Karim ar-Rahman fi tafsir kalam al-Mannan. Beliau menerangkan dalam surah al-Kawthar disebut dua ibadah, iaitu solat dan korban kerana kedua-dua ibadah itu sebaik-baik ibadah dan semulia-mulia amalan. Ini kerana, solat terkandung dalamnya perasaan khusyuk hati dan rendah diri yang dapat diadaftasikan dalam ibadah lain dan berkorban pula adalah ibadah ke arah mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan penyembelihan sebaik-baik ternakan yang dimiliki oleh oleh seorang hamba dan juga pengorbanan harta  serta wang ringgit yang sentiasa disayangi dan dicintai oleh hawa nafsu manusia.

3.0  Pengorbanan Nabi Muhammad SAW dan Sahabatnya

Pengorbanan nabi Muhammad SAW dalam soal dakwah kepada warga semenanjung tanah Arab yang sesat menyembah hamba kepada menyembah Allah SWT Tuhan kepada segala raja dan Tuhan kepada semua hamba. Baginda sanggup dihina dengan panggilan yang buruk sekalipun warga Makkah memanggil baginda dengan panggilan al-Amin sebelum ini kepada penipu, pengkhianat, ahli sihir dan sebagainya. Tidak di situ sahaja baginda dikeji, dimaki hamun dan dibaling batu oleh warga Makkah dan Taif yang sebelum ini sangat hormat dan menyayangi serta kagum dengannya. Semua ini diterima oleh nabi Muhammad SAW dengan rasa redha, kerana baginda yakin dengan apa yang disampaikan dan yang diperintahkan oleh Allah SWT kepadanya.

Tidak lepas begitu sahaja, sahabat baginda juga menjadi sasaran orang jahliah untuk dihina, dikeji dimaki hamun malah ada yang disiksa dan dibunuh. Seperti sahabat baginda Muhammad SAW, iaitu Abu Bakar as-Siddiq sanggup mengharungi onak dan rintangan bersama susah payah perit hidup dalam perjuangan semata-mata cintakan Allah SWT dan RasulNya. Ini dibuktikan dalam pelbagai keadaan kesetiaannya diuji dalam peristiwa isra’ dan mikraj serta semasa hijrah ke Madinah. Ramai lagi sahabat baginda nabi Muhammad SAW yang berkorban dengan apa yang dimiliki seperti Ustman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi sahabat yang lain mengorbankan harta benda demi perjuangan menegakkan agama Allah SWT. Bilal bin Rabah, Ammar dan sahabat baginda yang lain bertahan disiksa untuk mempertahankan aqidah demi tertegaknya agama Allah SWT yang mulia ini. Malah antara mereka terkorban. Inilah pengorbanan yang jitu dan tulus kerana Allah SWT semata-samata tanpa mengharapkan habuan dunia.


4.0  Pengorbanan Seorang Penuntut Ilmu

Seorang penuntut ilmu tidak akan memproleh ilmunya melainkan dengan pengorbanan. Seorang penuntut ilmu akan pasti mengorbankan harta dimiliki sendiri atau penjaga mereka. Ini kerana harta yang dimiliki akan digunakan untuk menuntut ilmu seperti membeli buku, kos pendidikan, keperluan hidup semasa belajar. Tidak akan rugi harta yang dimiliki habis digunakan untuk menuntut ilmu. Harta tersebut akan berganti dengan ilmu. Ilmu itu nanti akan mengembalikan harta yang telah digunakan malah lebih banyak daripada harta yang telah dibelanjakan. Oleh itu, jangan seorang penuntut merasai rugi apabila terpaksa berhabis harta untuk menuntut ilmu.

      Penuntut ilmu akan mengorbankan masa yang ada untuk menuntut ilmu, mengorbankan waktu rihat waktu selesa semata-mata kerana ilmu. Mereka mengorbankan rasa mengantuk yang sepatutnya untuk rihat dan tidur, namun digunakan untuk menuntut ilmu. Inilah pengorbanan masa yang ada kerana ilmu. Pengorbanan meninggalkan keluarga yang jauh di kampung halaman. Kerana ilmu mereka ditinggalkan. Rasa rindu dan sedih apabila waktu lebaran yang sepatutnya bersama keluarga tersayang. Namun digunakan pergi jauh untuk menuntut ilmu. Inilah sebuah pengorbanan seorang penuntut ilmu. Semua pergorbanan ini tidak akan bernilai dan sia-sia disisi Allah SWT jika tidak dilakukan keranaNya dan mengikut Sunnah nabi Muhammad SAW.  

      Imam Syafiee rahimahullah taala menyatakan

قال الشافعي :
أخي لن تنال العلم إلا بستة سأنبئك عن تفصيلها ببيانِ ذكاء وحرص واجتهاد وبلغة و إرشاد شيخ وطول زمانِ
“Wahai saudaraku: ilmu tidak akan diperoleh kecuali dengan enam perkara yang akan saya terangkan : (1) Kecerdasan, (2) Semangat, (3) Sungguh-sungguh, (4) Berkecukupan, (5) Bersahabat (belajar) dengan guru, (6) memerlukan waktu yang lama.


5.0  Kesimpulan

Kehidupan ini tidak akan kekal abadi. Tidak semuanya indah ada masanya senang dan mudah. Ada masanya susah dan payah. Inilah kehidupan. Kehidupan bak-roda. Masa di atas mungkin boleh berbangga-bangga dan sombong kerana nafsu dan dengki. Masa di bawah baru ketahui tidak semuanya indah. Oleh itu, janganlah sombong dan menganiayai orang lain. Janganlah menyalahgunakan kuasa dan berbangga-bangga dengan yang sementara. Anggaplah semua yang diberikan adalah amanah yang akan dipertangungjawabkan depan Allah SWT. Berusahalah untuk membuat yang terbaik dan menjauhi mencipta musuh. Berubahlah kepada yang baik dan lebih baik, kerana kuasa untuk mengubah itu pada diri kita.
Firman Allah SWT dalam surah ar-Ra’du ayat 11
 
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.



No comments:

Post a Comment