Sunday, December 8, 2013

Fahami Agama dengan Dalil al-Quran dan al-Hadith



Yahya Bakeri
Universiti Malaysia Sarawak

1.0  Pengenalan
Pasca thunami di Acheh dahulu, fenomena masjid kekal teguh tak tersentuh oleh thunami hangat diperkatakan di Malaysia, sebagai tanda keagungan Allah SWT, dikait juga bahawa ianya adalah bukti benarnya Islam, hinggakan bencana thunami yang menimpa tidak menyentuh rumahNya. Baru-baru ini di Filipina, berlaku taufan yang dahsyat. Taufan ini dinamakan taufan Hayyan dengan kelajuan anginnya mencecah 350km sejam. Namun disebalik cerita ini, ada cerita yang menggemparkan. Patung Jesus tegak berdiri walaupun taufan yang membelasah tempat itu dasyat sekali. Maka bergemalah pula bahawa itulah bukti kebenaran Kristian. Malah ada orang Islam yang seakan tergugah keimanannya ekoran dengan peristiwa ini. Patung Jesus itu gagah dan kekal berdiri selepas dibantai taufan Haiyyan. Apakah agama mereka benar? Fenomena keajaiban-keajaiban ini menjadi dalil kepada kebenaran sesuatu agama ini menarik perhatian. Tidak mahu bicara masuk kepada perbahasan agama mana yang lebih benar, saya sebagai seorang muslim ingin memberikan pandangan melalui perspektif saya berkenaan fenomena tersebut.


2.0  Percaya dengan Keajaiban
Ummat Islam di Malaysia, daripada kalangan rumpun melayu terutamanya, saya lihat sangat takjub dengan perkara-perkara berunsur keajaiban. Jika ada buah tomato yang dibelah dua dijumpai kalimah Allah, maka ia akan dianggap dalil bahawa itulah bukti kebenaran Islam. Apabila di langit ada awan yang membentuk nama Rasulullah iaitu, Muhammad atau nama Allah itu sendiri, pastinya akan dihebohkan, bahkan ada muka-muka FB yang menarik dengan memaparkan gambar-gambar sebegini. Apatah lagi gambar pokok ruku’ dan sujud, semuanya dibesar-besarkan sebagai tanda kebesaran Allah, bukti bahawa benarnya Islam. Begitulah juga apabila berlakunya peristiwa bangunan seperti masjid kekal selepas thunami. Ianya diangkat sebagai dalil betapa benarnya Islam. Namun saya melihat beriman dengan cara begini, ada masalahnya. Masalahnya apabila berlaku seperti apa yang berlaku patung Jesus kekal selepas taufan. Maka apakah agama Kristian itu agama yang benar dengan dalil sedemikian? Begitu juga orang-orang agama lain berjumpa dengan awan yang memaparkan logo atau simbol agama mereka, bertemu dengan pokok berbentuk seperti orang agama mereka sedang beribadah dan sebagainya akan mempecayai bahawa agama mereka juga betul.

3.0 Beriman Dengan Apa yang Dilihat Semata-mata
Beriman dengan apa yang dapat dilihat dan dapat dirasai oleh anggota mata sahaja tidak   cukup untuk merperkukuhkan keimanan. Sebab iman itu hendaklah menyebut dengan lidah, percaya dengan hati dan lakukan dengan perbuatan. Sebab itu kita tidak boleh percaya 100% bahawa babi dari sudut kesihatan, binatang ini mempunyai kuman yang boleh membunuh sel-sel manusia sedikit-sedikit, sekalipun ianya dibuktikan dengan sains. Dengan alasan sebab itu al-Quran mengharamkannya. Nanti apabila tiba masanya ada penemuan baru yang boleh membunuh kuman yang merbahaya itu, maka akan terlucutlah kebenaran al-Quran disebabkan kepercayaan hanya bersandarkan kepada sains semata-mata. Percaya boleh namun tidak cukup, ianya memerlukan keyakinan sepenuhnya kepada perintah Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 3:

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).

Percaya kepada perharaman ini disebabkan Allahlah yang mengharamkannya. Inilah kepercayaan yang diajar oleh Nabi SAW. Sebab itu Rasulullah SAW membina akidah Tauhid dengan mukzizat dan keyakinan dalam diri setiap pengikut Baginda SAW semasa menyampaikan dakwah Islam.

         Beriman kepada perkara yang supernatural inilah yang membuatkan manusia mudah tersesat mempercayai perkara-perkara khurafat, seterusnya menyembah makhluk Allah yang lainnya, kerana dirasakan ada sesuatu yang berlaku padanya ciri supernatural itu, adalah dalil akan kekuasaan dan keesaanNya. Maha suci Allah yang mengutuskan Rasul-RasulNya dengan mukjizat, tetapi para RasulNya adalah yang sering berkata dalam firman Allah SWT surah an-Nahl ayat 36:
  
Dan sesungguhnya kami telah mengutus Dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada Yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu, mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah Bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulNya.

Hendaklah diingat, betapa Dajjal nanti di akhir waktu kelak, mempunyai kekuasaan supernatural juga. Itu tidak menjadikannya Tuhan. Orang yang mudah mempercayai supernatural itu ialah bukti ketuhanan, maka mudahlah nanti tumpas kepada fitnah Dajjal di akhir zaman.

4.0 Dalil Kebenaran Agama
Agama yang benar ialah agama yang diturunkan sendiri oleh Tuhan, dan Tuhan mengiktiraf kebenaran agama tersebut. Bagaimana hendak cara mengetahui agama itu diturunkan sendiri oleh Tuhan? Dengan kita mengkaji kitab suci yang ada. Balik kepada sumber agama itu sendiri. Kesempurnaan sumber itulah yang menjadi dalil bahawa sumber itu datang daripada Tuhan. Kerana Tuhan sifatnya sempurna. Tuhan Semesta Alam, jika ada kecacatan, takkan stabillah alam ini. Sebab itu perlunya mempelajari ilmu Pembandingan Agama, kita bukan menyenaraikan keajaiban-keajaiban, kejadian supernatural yang berlaku di dalam agama masing-masing. Tetapi membandingkan kitab-kitabnya. Kita merujuk kembali sumber agama itu sendiri. Bagaimana sumber agama itu terbentuk, siapa yang mengumpulkan dan menulisnya, bagaimana pula struktur kitab itu, apakah ada fakta yang bercanggah dan sebagainya.

      Kerana itu di dalam Al-Quran, Allah mencabar beberapa kali agar manusia mencipta sesuatu yang sama tarafnya dengan Al-Quran seperti dalam firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 88:
 
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, Walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri".

Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan, Muhammad yang mereka-reka al-Quran itu. Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 13:


 Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh Dengan mengatakan: "Ia (Muhammad) yang mereka-reka al-Quran itu "Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja Yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar".
Surah al-Baqarah ayat 23:
  
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 38


(orang-orang kafir tidak mengakui hakikat Yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: "Dialah (Muhammad) yang mengada-adakan al-Quran menurut rekaannya". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar".

Demikian berkali-kali diulang cabaran itu, menandakan betapa di sanalah dalil yang terkukuh, akan kebenaran agama ini. Jika kita teliti Kitab karangan Dr Sheikh Fadhl Hassan Abbas yang bertajuk  I’jaz al-Quran, akan dapat melihat ketelitian yang tak tertanding di dalam al-Quran. Sanalah wujudnya kebenaran, indahnya Allah SWT, al-Quran itu ayat pertamanya yang diturun ialah surah al-“Alaq ayat 1:
 
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).
Pertama menuntut bahawa kefahaman yang jelas ialah kunci kepada terbongkarnya kebenaran terhadap Tuhan yang menciptakan sekalian alam, dan ayat itu ialah permulaan kepada semua wahyu selepasnya.

5.0 Penutup
Kesimpulannya keyakinan kepada supernatural semata-mata tidak cukup untuk menguatkan dan memperkukuhkan keimanan. Ini kerana beriman kepada supernatural lebih kepada alam kenyataan. Seseorang boleh dan goyah keimanannya jika hanya bersandarkan kepada keimanan seperti ini. Beriman dengan keajaiban akan lebih kukuh apabila disandarkan kepada nas-nas al-Quran dan hadith-hadith yang sohih.





No comments:

Post a Comment