Thursday, December 5, 2013

Hukum dan Isu di sebalik Pemakaian Purdah


Yahya Bakeri
Universiti Malaysia Sarawak

1.0  Pengenalan
Pemakaian purdah semakin menjadi fenomena pada masa kini. Purdah atau niqab semakin menjadi bualan dan kekeliruan dalam keperluan memakainya sama ada di tempat awam dan dalam institusi. Sekalipun sejarah perbahasan mengenai pemakaian purdah sudah dibahaskan sebelum ini, namun masih ramai dalam kalangan umat Islam yang masih keliru dan bagaimana keperluan memakai purdah dalam kalangan mahasiswa di universiti dan tempat awam. Isu ini memang sensitif dan mesti diperjelaskan agar tidak wujud kekeliruan dan salah faham dalam kalangan kita. Oleh itu, kajian ini sangat diperlukan agar kekeliruan dan kesalahfahaman serta keperluan memakainya pada masa kini, tempat dan pendapat para ulama muktabar mengenai isu ini.

2.0  Pendapat Ulama Muktabar
Persoalan memakai purdah atau yang disebut sebagai niqab bagi wanita adalah persoalan khilafiyyah yang diiktiraf. Maksudnya para ulama berbeza pendapat mengenainya atas kaedah dan hujah yang diiktiraf untuk kedua-dua pihak. Ada dalam kalangan ulama yang mewajibkannya dengan menganggap wajah wanita adalah aurat. Jumhur fuqaha (majoriti ulama fiqh) pula menganggap wajah wanita bukannya aurat. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-majmu’ , katanya: “Sesungguhnya `aurat wanita yang merdeka itu ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Inilah pendapat al-Imam al-Syafi`i, al-Imam Malik, al-Imam Abu Hanifah, al-Imam al-`Auza`i, al-Imam Abu Thaur dan lain-lain. Demikian juga dalam satu riwayat daripada pendapat al-Imam Ahmad “Pada zaman ini, dalam kalangan ulama yang kuat menegaskan wajah wanita adalah aurat antaranya al-Syeikh Ibn Baz r.h. dalam fatwa-fatwanya yang banyak, juga Dr. Sa`id Ramadhan al-Buthi dalam buku kecilnya “إلى كل فتاة تؤمن بالله” dan sebelum itu `Abu al-`Ala al-Maududi r.h dalam bukunya al-Hijab. Sementara yang menyatakan wajah wanita bukan `aurat adalah majoriti ulama semasa, antaranya Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya “النقاب للمرأة المسلمة، بين القول ببدعيته، والقول بوجوبه Al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. dalam “جلباب المرأة السلمة في الكتاب والسنة dan selepas itu sebagai jawapan dan tambahan kepada kitab tersebut beliau menulis الرد المفحم. Demikian juga Muhammad al-Ghazali dalam banyak tempat dalam buku-bukunya.

3.0 Dalil al-Quran dan al-Hadith
Alasan-alasan yang dibawa oleh jumhur ulama yang menyatakan wajah wanita muslimah bukannya `aurat adalah jelas dan nyata. Antaranya firman Allah SWT dalam surah ayat 31:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
Berpandukan ayat ini pihak jumhur berhujah dengan dua perkara:
        i.         Jumhur menafsirkan maksud:  إلاّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا kecuali yang zahir daripadanya, ialah wajah dan tapak tangan. Ini sama seperti yang ditafsirkan oleh Ibn `Abbas, Umm al-Mukminin`Aisyah, `Abdullah bin `Umar, Anas bin Malik, Abu Hurairah, al-Miswar bin Makhramah dan lain-lain. Sesiapa yang inginkan pendetilan mereka boleh melihat kitab-kitab tafsir, hadith dan fiqh ketika para `ulama menghuraikan ayat ini. Al-Syeikh al-Albani r.h. mendetilkan penbincangan ayat tersebut dalam kitabnya الرد المفحم membukti bahawa muka dan tapak tangan bukannya aurat bagi wanita muslimah dan beliau menyenaraikan riwayat para sahabah yang memegang pendapat ini.
      ii.   Ayat di atas juga menyatakan: وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. Allah hanya memerintahkan agar ditutupجيوب iaitu jamak kepada جيب ataupun kita terjemahkan sebagai bahagian dada yang terdedah disebabkan belahan leher baju. Ini bermaksud wanita diperintahkan agar tudung kepala mereka dilabuhkan sehingga menutup bahagian dada yang terdedah kerana belahan leher baju. Ayat ini tidak langsung menyebut agar mereka menutup wajah mereka. Kalaulah wajah itu adalah `aurat, maka sudah pasti ayat ini akan turut memerintahkan agar mereka menutupnya juga. Oleh itu,  al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi menyebut dalam al-Muhalla: “Ayat adalah dalil bahawa diharuskan membuka wajah, tidak mungkin sama sekali difahami selain dari itu”

               Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 52:
 Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu, dan Engkau juga tidak boleh menggantikan mereka Dengan isteri-isteri yang baharu sekalipun engkau tertarik hati kepada kecantikan mereka, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. dan (ingatlah) Allah sentiasa mengawasi tiap-tiap sesuatu.
Ayat ini ditujukan kepada Rasulullah SAW. Dari ayat ini jelas bahawa para muslimat ketika zaman baginda SAW tidak menutup wajah mereka, jika tidak bagaimana mungkin kecantikan mereka boleh menarik perhatian baginda. Ini tidak mungkin melainkan wajah mereka terbuka dan dapat dilihat.
                    Mana kala hadis yang menjelaskan perkara ini seperti hadis Abu Kabsyah al-Anmari, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسًا فِي أَصْحَابِهِ فَدَخَلَ ثُمَّ خَرَجَ وَقَدِ اغْتَسَلَ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ كَانَ شَيْءٌ قَالَ أَجَلْ مَرَّتْ بِي فُلانَةُ فَوَقَعَ فِي قَلْبِي شَهْوَةُ النِّسَاءِ فَأَتَيْتُ بَعْضَ أَزْوَاجِي فَأَصَبْتُهَا فَكَذَلِكَ فَافْعَلُوا فَإِنَّهُ مِنْ أَمَاثِلِ أَعْمَالِكُمْ إِتْيَانُ الْحَلالِ.

(Suatu ketika Rasulullah s.a.w. duduk bersama sahabat-sahabat baginda. Tiba-tiba baginda masuk (ke dalam rumah baginda), kemudian keluar dalam keadaan baginda sudah mandi. Kami pun bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah berlaku sesuatu?”. Jawab baginda: “Ya! Telah melintasi di hadapanku fulanah (perempuan tertentu yang dikenali), maka timbul dalam hatiku syahwat terhadap wanita, lantas aku pun mendatangi salah seorang dari isteriku dan menyetubuhinya. Demikianlah yang mesti kamu lakukan, kerana antara amalan kamu yang baik ialah mendatangi yang halal” (Riwayat Ahmad dan al-Tabarani di dalam الأوسط . Kata al-Albani dalam سلسلة الأحاديث الصحيحة sanad hadith ini hasan, bahkan lebih tinggi dari hasan.
               Walaupun rawi hadith tidak menyebut nama wanita berkenaan, tetapi perkataan fulanah dalam bahasa arab bermaksud wanita tertentu yang dikenali. Ini menunjukkan Rasulullah SAW. mengenalinya. Sebagai Rasul yang bersifat dengan keinsanan maka timbulnya perasaan dalam hati baginda seperti mana timbulnya dalam jiwa seorang insan lelaki yang normal. Maka untuk melepasi perasaan tersebut baginda mendatangi seorang daripada isteri-isteri baginda, iaitu Zainab seperti yang dinyatakan dalam riwayat yang lain. Juga hadith ini adalah tunjuk ajar Nabi SAW secara praktikal kepada para sahabah. Dalam riwayat-riwayat yang lain disebut:
فَإِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ امْرَأَةً فَأَعْجَبَتْهُ فَلْيَأْتِ أَهْلَهُ فَإِنَّ ذَاكَ يَرُدُّ مِمَّا فِي نَفْسِهِ
Apabila seseorang kamu melihat seseorang wanita yang mengkagumkannya, maka datangi isterinya, kerana itu dalam menyelesaikan apa yang ada dirinya. (Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Baihaqi, Ahmad, lafaz hadith di atas ialah lafaz al-Imam Ahmad).
Jika dilihat hadith ini, bagaimana kaum Adam dapat menilai wajah dan kecantikan seseorang wanita, jika mereka tidak membuka muka. Maka jelaslah bahawa pada zaman tersebut kaum Hawa tidak menutup muka mereka. Sekiranya keadaan seperti inipun Nabi SAW tidak menyuruh golongan Hawa memakai purdah, kenapa kita boleh melebihi Nabi SAW, dalam soal ini.
               Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan al-Bukhari, Muslim dan lain-lain:
عَنْ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِي اللَّه عَنْهممَا قَالَ كَانَ الْفَضْلُ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنْ خَشْعَمَ فَجَعَلَ الْفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ وَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْرِفُ وَجْهَ الْفَضْلِ إِلَى الشِّقِّ الْآخَرِ
Daripada Ibn `Abbas r.a., katanya Al-Fadhal (bin `Abbas) pernah menjadi radif Rasulullah s.a.w. (menaiki unta yang sama di belakang Rasulullah). Datang seorang wanita dari khasy`am. Lalu al-Fadhal memandangnya dan dia pun memandang al-Fadhal. Maka Nabi pun memusingkan wajah al-Fadhal ke arah lain.
Dalam riwayat al-Nasai dinyatakan juga:
فَأَخَذَ الْفَضْلُ بْنُ عَبَّاسٍ يَلْتَفِتُ إِلَيْهَا وَكَانَتِ امْرَأَةً حَسْنَاءَ وَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْفَضْلَ فَحَوَّلَ وَجْهَهُ مِنَ الشِّقِّ الْآخَرِ
Lantas al-Fadhal bin `Abbas memandangnya. Dia adalah seorang perempuan yang cantik Maka Nabi pun memusingkan wajah al-Fadhal ke arah lain.
Riwayat-riwayat ini menunjukkan wanita pada zaman Nabi SAW tidak menutup wajah mereka. Sementara Nabi SAW pula hanya memusingkan wajah al-Fadhal tanpa menyuruh wanita berkenaan menutup wajah. Sekalipun dia sangat cantik. Ini menunjukkan pendapat yang menyatakan wanita yang berwajah cantik wajib menutup muka juga adalah tidak kukuh. Jika dibaca kesuluruhan hadith kita akan dapat menilai, peristiwa itu berlaku pada haji wada’. Sedangkan ayat hijab dalam al-Quran turun sebelum itu lagi, iaitu pada tahun 5 hijrah. Maka dakwaan yang menyatakan perintah menutup wajah datang selepas itu, adalah tidak tepat.
Inilah sebahagian daripada dalil-dalil yang banyak yang dikemukakan oleh jumhur `ulama bagi membuktikan wajah wanita bukan `aurat. Berpegang kepada pendapat jumhur dalam ini adalah lebih jelas dari segi nas atau dalilnya, juga lebih memudah seseorang muslimah pergerakan mereka. Islam itu mudah dan praktikal seperti yang ternyata pada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.
4.0 Isu pemakaian Purdah di Institusi Pendidikan
Mengenai pandangan ulama dan dalil berkaitan sudah diperjelaskan di atas. Isu pemakaian purdah di institusi pendidikan di negara ini sudah banyak diperkatakan. Namun melihat kepada keperluan di institusi itu. Jika keperluan kepada mereka memakai purdah umpamanya diri wanita itu menjadi bualan dan perhatian golongan lelaki, maka menjadi keperluan untuk wanita itu memakai purdah. Namun pemakaian pudah mendatangkan isu dan masalah fitnah seperti memudahkan pelajar menipu semasa peperiksaan, kehadiran dalam kuliah yang boleh digantikan dengan orang lain dan menjadi masalah kepada para pensyarah, maka keperluan untuk memakai purdah tidak lagi diperlukan sesuai dengan keadaan pada masa dan tempat tersebut. Memakai purdah bukan wajib, jadi para pelajar dan ibu bapa pelajar mesti terbuka dengan isu ini. Jangan kerana keegoan kita, sehingga kita menafikan penjelasan al-Quran dan al-Hadith maka kita masih berpegang kepada prinsip ikut-ikutan sahaja. Pada hal, ianya jelas dan terang.

4.0 Penutup
Memakai purdah itu tidak wajib dan keperluan untuk memakainya tidak ada. Maka menjadi keperluan kepada para pelajar membuka purdah tersebut dan menutup aurat mereka sesuai dengan syariat. Pihak institusi berhak untuk menegah pelajar memakai purdah dan para pelajar wajib mematuhinya selagi mana pihak institusi itu tidak melanggar garis panduan syariat. Pihak institusi itu sebagai ketua dan pemimpin kamu, maka mereka berhak dan wajib kamu taati selagi tidak melanggar perintah Allah SWT dan RasulNYA. Ini berdasarkan dalil firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat :

 Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

No comments:

Post a Comment