Thursday, August 25, 2016

Golongan Remaja dalam Memahami Erti Kemerdekaan



Golongan Remaja dalam Memahami Erti Kemerdekaan
Yahya Bakeri
Universiti Malaysia Sarawak

1.0  Pengenalan
Patah tumbuh hilang berganti. Inilah satu hakikat yang perlu disedari dan difahami oleh golongan remaja hari ini bahawa mereka pastinya akan mengambil tempat golongan dewasa pada suatu hari nanti. Maka, golongan remaja yang ada pada hari inilah yang seterusnya akan memikul tanggungjawab yang berat ini bagi memastikan segala wawasan yang dirancang bagi mengekalkan kemerdekaan, mengisi, memajukan negara dan ummah akan tercapai dengan jayanya. Justeru, bentuk kemajuan negara pada masa hadapan adalah bergantung kepada kualiti remaja yang ada pada hari ini. Oleh sebab itu, golongan remaja perlu diberi bimbingan dan didikan yang sempurna agar mereka menjadi golongan remaja yang cemerlang dan mampu menggalas harapan negara.

2.0  Zaman Remaja dan Cabaran

Sesungguhnya, zaman remaja adalah satu fasa kehidupan yang sangat penting lagi berharga. Ia adalah tempoh peralihan dan persediaan bagi remaja untuk menempuh alam dewasa. Oleh sebab itu, para remaja hendaklah menggunakan dengan sepenuhnya masa remaja ini untuk memperlengkapkan diri dengan ciri-ciri yang penting bagi menjadi seorang yang cemerlang di dunia dan akhirat. Antara ciri-ciri tersebut ialah :

2.1  Memiliki pegangan dan penghayatan yang teguh terhadap ajaran Islam sama ada yang berkaitan dengan aqidah atau syariat.

 Sebenarnya, aqidah yang kuat dan cara hidup yang berlandaskan syariat merupakan pendorong utama kepada setiap muslim itu untuk melakukan amal kebajikan dan melaksanakan segala tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Pada masa yang sama, ia menjadi benteng yang utuh bagi menangkis segala pengaruh negatif yang cuba memesongkannya dari jalan hidup yang diredhai Allah. Inilah yang ditegaskan oleh Allah subhanahu wata’ala melalui firmanNya di dalam surah Ibrahim, ayat 24-25 :
 
Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).

2.2  Memiliki akhlak dan budi pekerti yang mulia

Islam amat menekankan kepada setiap individu umatnya agar memiliki akhlak yang mulia sama ada dalam pertuturan ataupun perbuatannya. Islam telah menetapkan bahawa orang yang terbaik dan cemerlang adalah mereka yang paling baik akhlaknya. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam :
(( خِيَارُكُمْ أَحَاسِنُكُمْ أَخْلاَقًا ))
Orang yang terbaik dalam kalangan kamu ialah mereka yang terbaik dari segi akhlaknya. (Hadith riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya, kemajuan dari segi material dan fizikal yang dikecapi tanpa diiringi oleh akhlak dan budi pekerti hanya akan menyebabkan tamadun yang dibina tidak kekal lama dan akhirnya akan musnah. Manakala kemajuan yang dibina oleh generasi yang berakhlak mulia akan memberi faedah dan rahmat kepada seluruh alam sesuai dengan pengutusan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam sebagai Rahmatan Lil Alamin.

2.3  Memiliki ilmu pengetahuan yang mantap dan kemahiran yang tinggi.

Saidina Ali r.a pernah berkata, maksudnya :

((“Sesiapa yang hendakkan kejayaan di dunia maka hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang hendakkan kejayaan di akhirat maka hendaklah dengan ilmu )).


Justeru, remaja pada hari ini hendaklah menggunakan sepenuh masanya semasa berada di bangku persekolahan dan di peringkat universiti bagi menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dan kemahiran. Masa lapang yang ada hendaklah digunakan untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh memberi faedah kepada pembinaan sahsiah dan meningkatkan kemampuan serta kemajuan dirinya.

2.4  Memiliki jiwa dan minda yang kuat.

Dalam berhadapan dengan zaman yang amat mencabar, para remaja perlu mempunyai jiwa dan minda yang kuat. Seorang yang memiliki jiwa yang kuat dan minda yang cerdas, mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kebolehan dirinya dan sedia untuk bersaing dengan sesiapa sahaja tanpa memandang rendah kepada orang lain serta tidak akan mudah untuk mengaku kalah atau kecewa. Kekalahan atau kegagalan baginya bukanlah titik noktah kepada kehidupan bahkan titik tolak kepada kejayaan yang gilang-gemilang. Malah baginya kegagalan itu adalah pelajaran yang berguna baginya dalam mencipta kejayaan. Mereka yang kuat jiwa dan mentalnya adalah golongan yang kuat tawakkalnya kepada Allah subhanahu wata’ala Inilah yang ditegaskan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam melalui sabdanya : 

(( اَلْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيْفِ، وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ. اِحْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ، وَاسْتَعِنْ بِاللهِ وَلاَ تَعْجِزْ، وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلاَ تَقُلْ : لَوْ أَنِّيْ فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَـكِنْ قُلْ : قَدَّرَ الله ُ، وَمَا شَاءَ فَعَلَ؛ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ  ))
Orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah, dan pada kedua-duanya ada baiknya. Berusahalah kamu mendapatkan apa yang bermanfaat bagimu dan sentiasalah memohon pertolongan daripada Allah dan janganlah kamu lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu musibah, maka janganlah kamu berkata : “Kalau saya buat begini, maka sudah tentu begini dan begitu yang akan terjadi”. Tetapi katakanlah : “Allah telah mentaqdirkannya dan apa sahaja yang dikehendaki oleh Allah pasti akan terjadi”. Sesungguhnya, perkataan ‘kalau’ itu akan membuka pintu untuk campurtangan syaitan.(Hadith riwayat Imam Muslim)
Inilah antara ciri-ciri penting yang perlu dimiliki oleh para remaja bagi membolehkan mereka menggalas harapan Negara di hari muka untuk mengisi kemerdekaan.

3.0  Kesimpulan

Akhirnya, kita berdoa agar para remaja kita ini akan sentiasa diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah subhanahu wata’ala untuk terus menghayati cara hidup yang bermoral dengan mengamalkan nilai-nilai murni berlandaskan ajaran Islam dan budaya hidup yang cemerlang pada setiap masa. Mudah-mudahan mereka akan terus mendapat inayah dan ri’ayah Allah subhanahu wata’ala daripada terpengaruh dengan nilai-nilai dan budaya-budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam dan seterusnya berjaya melaksanakan peranannya sebagai remaja Islam yang cemerlang, insya Allah. Firman Allah subhanahu wata’ala di dalam surah al-Nahl, ayat 97 :
ƒ
Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.






No comments:

Post a Comment