Thursday, February 26, 2015

PENGERTIAN JIHAD



 Dari segi bahasa
 
Perkataan jihad  berasal dari bahasa Arab iaitu dari perkataan jahada, yajhadu, juhdan, atau jahdan atau jihaadan. Maksud jahada ialah bersungguh-sungguh menggunakan tenaga iaitu bersungguh-sungguh  mengumpul semua kekuatan tenaga sama ada dalam diri (akal, roh, jiwa, fizikal) mahupun di luar diri (duit ringgit, kekayaan, aset dan sebagainya)

Oleh hal demikian, jihad itu ialah menghabiskan usaha tenaga untuk mencapai apa yang dicita atau menolak sesuatu yang tidak diingini, iaitu menerima kebaikan dan menolak keburukan atau mendapat manfaat dan mencegah bencana  menerusi apa-apa cara yang difikirkan wajar dan elok, dalam apa bidang sekalipun, sama ada dalam masa aman atau perang, tidak semestinya dengan berperang atau mengangkat senjata.

Dari segi istilah 

Para fukaha bersepakat iaitu peperangan dan membantu semua persiapan perang. Oleh itu dalam erti kata yang luas jihad boleh didefinisikan sebagai berjuang dalam peperangan, berjuang menentang hawa nafsu, berjuang menegakkan keadilan dan kebenaran dan lain-lain perjuangan pada jalan Allah dan meninggikan kalimah Allah.

Pada ketika ini kita dimomokan dengan berita berkaitan ISIS atau Islamic State Iraq and Syiria iaitu perjuang jihad menurut mereka yang ingin menubuhkan kerajaan Khalifah baru yang dipanggil IS yang menggabungkan antara Iraq dan Syiria atau dipanggil orang Arab sebagai Syam. Maklumat yang kita terima agar sukar untuk dipercayai kerana pelbagai propaganda yang dilakukan oleh Barat dan Yahudi untuk mengelirukan kita.

Sebelum ini kita disaksikan dengan video yang menuduh pihak ISIS menyembelih orang ramai yang tidak sama ajaran dan pegangan dengan mereka. Mereka membunuh dengan membakar orang Islam sendiri yang menjadi tawanan perang. Berita seperti ini sangat sukar dipercayai. Sebabnya adakah benar orang Islam yang mengamalkan ajaran Islam melakukan kekejaman seperti ini? Sedangkan Islam agama perdamaian. Sangat sukar diterima oleh akal yang waras. Mana kala pandangan ulama besar seperti Dr Yusuf al-Qaradawi menafsirkan pemerintahan khalifah Islam yang diwujudkan Isis sebagai melanggar undang-undang syariah. Malah  pandangan beliau  sedemikian disokong ulama tersohor dari Magribi, Prof Dr Ahmad al-Raysuni, yang mendakwa Khilafah Islamiah yang dilaungkan tidak lebih dari angan-angan, fatamorgana dan mimpi buruk sama ada ditinjau dari sudut realiti ilmiah mahupun syariah.

Dalam berita terbaru ada seorang budak perempuan berumur 14tahun ditangkap di KLIA kerena didakwa mahu pergi ke Syiria untuk berjihad. Begitu juga ada 3 orang pelajar perempuan di Britain mahu ke Syiria untuk berjihad. Menurut kajian mereka bukan pelajar yang lemah dari aspek pelajaran malah mereka pelajar yang pintar dan mempunyai akademik yang sangat baik. Kenapa mereka boleh terpengaruh dan adakah mereka disuruh atau diwajibkan oleh Islam berjihad sedang banyak aspek mereka tidak penuhi dalam syarat-syarat jihad itu sendiri.


Islam meletakan garis panduan yang betul untuk berjihad. Tidak semudah yang kita fikirkan, iaitu sesiapa sahaja boleh berjihad. Berjihad mereka itu berjuang. Ianya mesti datang melalui arahan daripada pemerintah. Ini adalah asas jihad. Oleh kerana itu, Nabi Muhammad SAW menyebut tentang, barang sesiapa yang keluar berjihad tetapi tanpa pemerintah, maka dia akan mati dalam keadaan mati jahiliah.

Cuma apa yang berlaku pada hari ini pemerintah itu siapa? Ini adalah persoalan yang di bicarakan oleh para ilmuan. Contohnya adakah pemerintah itu bersifat seperti pemerintah yang di tempat kita atau pemerintah di tempat yang diperangi. Soal para ulama, siapakah dalam kalangan mereka yang keluar berjihad? Apabila ulama kita ini faham bahawa jihad mempunyai garis panduan, maka mereka mengikuti garis panduan tersebut. Al-Imam As-Syafie rahimahullah tidak pernah terkenal keluar berjihad. Ada antara ahli ulama yang tidak terlibat dengan mana-mana satu peperangan pun antaranya ialah Al-Imam Al Syafie, Al Imam Nawawi, Al Imam Al Bukhari, Al Imam Muslim dan sebagainya. Ini berlaku kerana mereka faham bahawa jihad di sisi ahli sunnah wal jamaah mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi.

Allah SWT  memberi permisalan dan persediaan. Contohnya apa yang berlaku di Palestin. Adakah ulama-ulama ahli sunnah wal jamaah meminta supaya rakyat Palestin itu berjihad? Perselisihan antara pemimpin di Palestin iaitu Fatah dan Hamas masih tiada penghujungnya serta mereka juga tiada persediaan untuk berjihad. Sekiranya tiada persediaan dalam berjihad tidak mungkin kita boleh berjihad. Oleh kerana itu, pada pertama kali timbulnya isu Palestin Syeikh Abdul Aziz Bin baz rahimahullah mengeluarkan fatwa, iaitu mengadakan suatu perjanjian damai dengan Yahudi. Ketika itu beliau dikritik oleh ilmuan-ilmuan Islam di Timur Tengah yang lain.

Syeikh Abdul aAziz Bin Baz berkata, kalian duduk di negara-negara kalian, mengeluarkan fatwa dengan menyuruh rakyat Palestin berjihad sedangkan rakyat Palestin pada ketika itu tiada kelengkapan. Kalian membangkitkan semangat rakyat Palestin tanpa kalian berada dalam realiti waki’ keadaan rakyat Palestin. Syeikh Abdul Aziz Bin Baz berdalilkan firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 61

“Sekiranya mereka merendahkan sayap mereka untuk berdamai, maka berdamailah dengan mereka dan bertawakallah kamu kepada Allah”.

Ini kerana Allah telah memberitahu bahawa Yahudi adalah golongan yang penipu. Oleh itu kita bertawakal kepada Allah kerana untuk kemaslahatan. Walaupun Allah telah memberi tahu bahawa Yahudi golongan penipu tetapi Nabi Muhammad SAW  tetap membuat perjanjian damai dengan mereka. Nabi masih menyusun piagam Madinah, menjaga hak-hak mereka. Walaupun Allah telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 120 

“Yahudi dan Nasrani tidak akan meredhai kalian semua wahai umat Islam selama mana kamu tidak mengikut agama mereka”.

Nabi tetap membuat perjanjian ini kerana untuk kemaslahatan dalam keadaan langkah berjaga-jaga dan berhati-hati. Ini adalah pendapat para ahli ilmu. Jihad ini juga mestilah di dalam jiwa setiap individu muslim perlu lahir dan wujud perasaan ingin berjihad di jalan Allah SWT. Cuma disesuaikan dengan pra syarat- pra syarat yang telah digariskan dan dibahaskan secara terperinci tentangnya oleh para ilmuan dan ahli sunnah wal jamaah. Jadi jihadlah sekadar mampu.

 Jika kita hendak mengambil takrifan jihad itu sendiri ianya mempunyai jihad besar dan jihad kecil. Jihad besar ialah membabitkan penglibatan kita di dalam peperangan yang cukup syarat-syarat yang di gariskan oleh Nabi Muhammad SAW. Manakala jihad kecil kita boleh lihat secara umum seperti tafsiran dari Al Imam Ibn Kathir dalam surah al-Taubah ayat 41

“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui”.

Syeikh Muhammad Ibn Salleh al-Uthaimin menafsirkan ayat ini katanya, “berjihadlah dengan harta kamu”. Maksudnya di sini menunjukkan prioriti itu diberikan kepada harta selama mana tumpah darah itu perlu diminimamkan. Dahulukan jihad dengan harta kemudian barulah kita susuli jihad dengan jiwa dan nyawa.

Kita ingin berjihad. Terdapat amalan yang nilainya sama seperti jihad


     Berbakti kepada ibu bapa sama nilainya dengan pahala jihad. Sahabat Nabi SAW, Abdullah bin Amru bin 'Ash berkata: "Pada suatu hari seorang lelaki menghadap Rasulullah SAW, memohon izin untuk ikut berjihad bersama Baginda. Lantas Rasulullah SAW bertanya kepada lelaki itu: "Adakah orang tuamu masih hidup?" Jawabnya: "Ya, mereka masih hidup." Rasulullah SAW bersabda: "Dalam diri orang tuamu itulah terdapat nilai jihad." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

        Menuntut itu ilmu itu jihad. Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali”. (HR. Muslim)

     Pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab telah menemui Rasulullah SAW  lalu berkata: "Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu? Rasulullah SAW  bersabda: "Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit daripada golongan kamu yang dapat melakukannya." (HR Al-Bazzar dan At-Thabrani).

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka. Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

No comments:

Post a Comment