Tuesday, January 29, 2013

Pakaian Masyarakat Arab Saudi

ADAT DAN KEBUDAYAAN ARAB Pakaian Masyarakat Arab Saudi 1.1 Kaum Lelaki Pakaian masyarakat Arab Saudi bagi kaum lelaki biasanya baju kemeja yang labuh. Pakaian ini dikenali sabagai thawb. Thawb merupakan sejenis pakaian seperti kemeja berlengan panjang tapi thawb lebih labuh sehingga paras buku lali. Rekaan thawb adalah berbeza dari segi bentuk potongan lehernya dan berbeza pada lipatan dibahagian lengannya. Bagi thawb yang mahal harganya, lipatan pergelangan tangannya adalah mahal bahannya. Thawb diperbuat daripada bahan kapas. Namun begitu, thawb juga boleh dihasilkan daripada bahan campuran kapas seperti polister atau nilon. Bagi thawb yang mahal harganya ia diperbuat daripada sutera. Thawb yang dipakai kaum lelaki masyarakat Arab Saudi selalunya berwarna putih. Namun, warna ini juga sering berubah bergantung pada musim. Pada musim sejuk thawb diperbuat daripada bulu haiwan. Sirwal merupakan seluar yang dipakai bersama-sama dengan thawb. Dipakai dengan kain selempang atau bengkung dibahagian pinggang. Selain thawb, futrah juga merupakan pakaian tradisional bagi kaum lelaki masyarakat Arab Saudi. Futrah merupakan penutup kepala yang berbentuk skaf segitiga yang diperbuat daripada kapas dan campuran sutera. Tujuan pemakaian futrah adalah untuk melindungi pemakainya daripada pancaran sinaran matahari yang terik dan perlindungan daripada habuk dan debu pasir yang halus. Bisht atau mishlah merupakan pakaian jubah tradisioanal masyarakat Arab Saudi. Bisht dipakai diluar thawb pada waktu-waktu tertentu seperti mendapat penghormatan, menghadiri majlis perkahwinan dan hari perayaan. Bisht juga sering dijadikan selimut sewaktu mengembara pada suatu masa dulu. Terdapat pelbagai warna yang boleh dipilih oleh pemakainya. Bisht juga turut diserikan lagi dengan aksesori tambahan seperti sulaman benang emas. Penggunaan futrah dilengkapi dengan igal iaitu sejenis tali tebal yang digunakan diatas ghutrah bagi menyokong dan mengekalkan kedudukan futrah di kepala pemakainya. Igal selalunya berwarna hitam. Igal diperbuat daripada kulit binatang seperti unta dan lembu. Igal juga boleh dihasilkan daripada kapas dan bulu binatang. Selain itu, taqiyah merupakan satu lagi penutup kepala yang digunakan oleh kaum lelaki masyarakat Arab Saudi selain daripada futrah dan igal. Taqiyah merupakan kopiah atau topi yang dipakai di bawah futrah. Taqiyah diperbuat daripada bulu haiwan atau tali kali kapas yang dikait atau kain putih yang asli. Sesetengah taqiyah mempunyai lipatan, butang kecil dibahagian atasnya. Sama seperti thawb, pemilihan taqiyah juga bergantung kepada gaya individu lelaki Arab itu sendiri dan mengikut citarasa pemakaian individu tersebut. Adakalanya ianya juga bergantung kepada adat tradisi atau bangsa lelaki tersebut. Dalam pada itu, na‘al atau madas merupakan capal tradisional masyarakat Arab Saudi yang dipakai oleh kaum lelaki. Na‘al diperbuat daripada kulit haiwan seperti kulit unta, lembu dan kambing. Terdapat pelbagai jenis rekaan na‘al yang ada di pasaran. 1.2 Pakaian Wanita Pakaian masyarakat Arab wanita, terdapat beberapa kod pakaian yang harus dipatuhi. Antara kod atau peraturannya ialah, pakaian yang dipakai haruslah longgar iaitu tidak menampakan bentuk atau susuk badan. Selain itu, kaum wanita masyarakat Arab juga perlu memakai pakaian yang tidak jarang dan menutup anggota badan. Kod pakaian ini adalah bertujuan melindungi kaum wanita Arab daripada perkara yang tidak diingini. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengelakkan pandangan lelaki daripada ternampak susuk tubuh kaum wanita yang mana boleh membawa kepada perbuatan yang boleh mengundang maksiat. Abaya merupakan pakaian tradisional masyarakat Arab yang dipakai oleh kaum wanita. Abaya dipakai diluar pakaian yang dipakai. Abaya berbentuk seperti baju labuh beserta dengan lengan yang panjang yang menutupi badan pemakainya dari kepala hingga ke hujung kaki. Kebiasaannya abaya berwarna hitam. Tetapi pada masa kini, abaya boleh didapati dengan pelbagai warna mengikut kesukaan pemakainya. Abaya juga turut diserikan lagi dengan aksesori tambahan seperti sulaman benang perak, tambahan labuci dan manik- manik yang berwarna-warni bagi mencantikan lagi abaya. Reka bentuk abaya dan corak rekaannya juga berbeza mengikut status pemakainya dan juga tempat abaya ini dipakai. Dalam pada itu, pakaian seperti thawb atau gaun labuh yang dipakai oleh kaum wanita masyarakat Arab diperbuat daripada kapas dan campuran nilon dan polister. Bagi yang mahal buatannya ia diperbuat daripada sutera dan sulaman benang emas. Untuk wanita muslimah hijab merupakan pakaian yang menutup anggota badan kecuali mata. Tujuan pemakaian hijab adalah sebagai tuntutan agama Islam. Bushiyya merupakan tudung muka yang diikat dihujung kepala dan ianya labuh menutupi seluruh muka. Bushiyya adalah kain yang jarang yang membolehkan pemakainya melihat.

No comments:

Post a Comment