Thursday, March 3, 2016

KENAPA DOA TIDAK MAKBUL?



KENAPA DOA TIDAK MAKBUL
Yahya Bakeri
UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK
10 FEBRUARI 2016/1 JAMADIL AWAL 1437H
3.10PM

1.0  Pengenalan
Syekh Ibnu Taimiyah dalam kitab Akidah Wasathiyah dan kitab Akidah at-Tahawiyah menyatakan setiap manusia atau makhluk memang menjadikan doa sebagai amalan kehidupan. Orang baik berdoa dan orang jahat juga berdoa. Orang baik memohon agar kehidupan semakin baik dan sejahtera dunia dan akhirat. Seorang yang melakukan kejahatan juga berdoa. Meminta pelindungan daripada Tuhan agar kegiatan jahat mereka tidak diketahui orang. Ini menunjuk semua semua makhluk berdoa. Orang Islam berdoa dan orang bukan Islam juga berdoa dengan cara masing-masing.

2.0  Sikap orang-orang beriman
Firman Allah SWT dalam Surah Ghafir/al-Mu’min ayat 60
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina.

Orang-orang beriman bersikap sentiasa berdoa. Allah SWT  pasti akan memperkenankan doa setiap yang berdoa kepadaNya. Sesiapa sahaja yang meminta pasti akan diperkenankan. Itu janji Allah SWT kepada semua makhluknya. Hanya terpulang kepada Allah SWT untuk bila dan masa dimakbulkan doanya. Tetapi yang pasti sesiapa yang berdoa kepadaNya pasti akan diperkenankan permohonannya. Mereka yang tidak menyembahNya dan berdoa kepadaNya mereka itu sebenarnya sombong dan tempat mereka ialah neraka Jahannam dalam keadaan hina.

            Seorang yang tidak mempunyai agama juga berdoa seperti Cat Stevens pernah menyatakan ketika beliau belum memeluk Islam menyatakan bagaimana beliau boleh menerima Islam dalam hidup. Semasa hampir lemas beliau pernah menyebut sekiranya selamat daripada lemas ini, beliau akan cari kebenaran. Beliau menemui kebenaran dalam Islam. Manusia akan meminta dan berdoa kepada TuhanNya dalam senang dan susah. Lebih-lebih lagi ketika susah terutama apabila nyawa di hujung tanduk seperti berada dalam kapal terbang di udara. Ketika ribut dan petir memancar dan kapal bergegar. Masing-masing dalam ketakutan, masa itu setiap anak kapal ketakutan menyebut dan berdoa mengikut kefahaman masing-masing. Ini menunjukkan semua berdoa. Hanya cara berbeza.


3.0  Allah SWT Tidak Memperkenan Doa
Kenapa Allah SWT tidak memakbulkan doa hambaNya? Pada hal Dia berjanji akan memakbulkan doa hambaNya apabila berdoa. Ini janji Allah SWT dalam firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 186
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Berdasarkan dalil ini seorang muslim wajib berdoa walau dalam apa jua keadaan sekalipun dalam keadaan tahap yang paling malas. Mereka mesti berdoa walau seringkas manapun doa mereka. Sekalipun doa mereka seringkas ini  رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. Ya Tuhan kami kurniakanlah kebaikan kepada di dunia dan juga di akhirat dan jauhilah kami daripada azab api neraka. Sudah memadai kerana sesiapa yang tidak mahu berdoa mereka itu golongan yang sombong.

            Persoalannya adakah semua doa itu diterima? Jawapannya ya semua doa diterima oleh Allah SWT sepertimana dalam dalil di atas dengan syarat semua tuntutan dan adab berdoa dipenuhi. Dalam hadis nabi Muhammad SAW yang diriwayat oleh Ahmad yang sanadnya sohih bahasa Nabi SAW bersabda
مَا مِن مُسْلِم يَدعُوْ بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيْهَا اِثْمٌ وَلاَ قَطِيْعَةِ رَحِمَ إلاَّ أَعْطَاهُ اللهِ بِهَا اِحْدَى ثَلاَث : إِمَّا أنْ تُجْعَلَ لَهُ دَعْوَتِهِ وَإِمَّا أنْ يَدْخَرَهَا لَهُ في الآخرَةِ وَإمَّا يَصْرَفْ عَنْهُ مِنَ السُّوْءِ مِثْلَهَا.
Tidaklah seorang muslim berdoa yang dia tidak berbuat dosa dan tidak memutuskan hubungan saraturrahim melainkan Allah SWT memperkenankan satu daripada tiga, sama ada doanya diperkenankan secara terus atau ditangguhkan dan dimakbulkan semasa di akhirat ataupun Allah SWT lindunginya dari kejahatan seumpamanya.

            Kenapa doa kita ditolak? Syekh Sa’id bin Wahab al-Quhtani dalam kitab beliau “Syurut al-Dua’ wa Mawani’u al-Ijabah halaman  17-21 antaranya berliau menyatakan kerana terlalu mengambil mudah dalam soal yang haram. Nabi SAW telah bersabda yang diriwayat oleh Ahmad menyatakan
كُلُّ لَحْمٍ نَبَتَ مِنْ حَرَامٍ فالنَّار أَوْلَى بِه
Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka neraka lebih utama tempatnya.

Dalam hadis yang Nabi SAW menyatakan yang diriwayat oleh Muslim

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّماءِ يا رَبُّ.. يا رَبُّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ؟
Seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya. Sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu menadahkan tangannya ke langit seraya mendoa: "Wahai, Tuhan ku! Wahai, Tuhanku!" Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram, dan dia diasuh dengan makanan yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?"

            Melihat hadis ini antara mereka yang mustajab doa ialah orang yang bermusafir. Dalam hadis Nabi SAW terdapat 3 golongan yang doa mereka mustajab yang diriwayat oleh Ahmad dan sanadnya Hasan oleh al-Albani
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ: دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ

Tiga golongan dikabulkan doa yang tidak diragukan lagi iaitu doa orang yang dizalimi, doa seorang musafir, doa orang tua kepada anaknya.

            Selain itu dalam hadis Muslim tentang adab berdoa ialah penampilan diri yang kusut masai dan tidak terurus elok serta bersifat tawaduk tidak memerlukan pakaian yang mahal untuk doa mereka dimakbul, cukup dengan keadaan menutup aurat dan bersih. Menadah tangan ke langit sambil berdoa dengan rayuan lembut tanpa berteriak kerana Allah SWT maha mendengar apa sahutan hambaNya sambil disebut berulang-ulang dengan tulus ikhlas. Dari beberapa aspek hambaNya ini sudah cukup syarat untuk doanya makbul, namun sebab makanan, minuman dan pakaiannya haram, maka Allah SWT tolak doanya. Sekiranya semua syarat itu dipenuhi, maka selayaknya doanya makbul oleh Allah SWT. Sebab itu untuk makbulnya doa seorang mesti memilih makanan yang halal. Seorang hafiz akan menjaga makanannya. Ini kerana makanan yang sumbernya diragui akan mengganggu hafalannya. Sebagai contoh seorang hafiz hanya makan ayam yang disembelih sendiri sahaja dan tidak mahu membeli ayam yang sudah sedia disembelih. Ini bertujuan menjaga sumber makanan yang dimakan daripada sumber yang jelas halal. Tidak seperti kebanyakkan muslim hari ini ada logo halal terus beli tanpa menyelidik sumbernya. Sebab itu dalam masyarakat muslim sangat lemah hafalan al-Quran yang hafiz sedikit dan yang hafuz ramai.

            Dalam masa yang sama seorang yang mahu berdoa jangan tergesa-gesa dan terburu-buru. Semua mahu segera. Kena berdoa dalam keadaan tenang dan jangan sombong serta yakin doa akan dimakbulkan oleh Allah SWT . Kesah seorang mak cik yang pergi ke Mekah dalam tahun 2003. Mak Cik ini pergi ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji. Mak cik ini iltizam sungguh-sungguh untuk berdoa kepada Allah SWT supaya kakinya yang tempang jadi lurus balik dan dapat berjalan seperti orang lain. Setelah selesai wuquf dan kini tiba bermalam di Mina. Sepanjang menunaikan ibadah haji mak cik ini tidak putus berdoa kepada Allah SWT agar kakinya sihat sedia kala. Sehingga tiba masa untuk melintar jamarah al-Qubra di Mina. Mak cik ini berjalan seperti biasa dengan para jemaah lain menuju jamarat. Ketika berjalan rakannya menegur mak cik yang mak cik berjalan seperti orang lain. Tidak seperti orang yang tempang. Mak cik cuba praktik berjalan memang betul dah tak tempang. Inilah doa mak cik bersungguh-sungguh lagi sepanjang haji. Allah SWT telah perkenankan doa mak cik ini secara terus.

4.0  Allah SWT Tangguh Doa Dimakbulkan
Dalam kalangan kita ada yang doa mereka terus dimakbul dan ada juga doa mereka ditangguh atas ketentuanNya. Sesungguh Dia lebih mengetahui. Tetapi yang pasti doa apabila cukup syarat pasti akan diperkenankan. Namun setiap perkara ada hikmahnya. Antara mereka berdoa agar disegerakan jodoh. Namun Allah SWT lambatkan jodohnya atau sepenjang hayatnya tiada.

Sehingga ada menyanyi lagu sedih
Dari musim durian sampai musim rambutan
Tidak ku temu jodoh yang ku inginkan
Dari Timur sampai ke Barat masih dalam pencarian
Wahai ibu-ibu bapa-bapa siapa yang punya anak tolong bilangkan
Jadikanlah aku menantu mu, ku tak kesah berapa sahaja hantaran.

Ada yang lebih sedih sampai berpantun

Beli penganan di Pekan Pahang
Minat pengantin juadah bubur
Hati berkenan tunangan orang
Niat berkahwin sudah terkubur.

Ke baruh seorang jalan ditambak
Nampak musang tupai berpesta
Jodoh datang jangan ditolak
Kelak membujang sampai ke tua

Belalang di pintu bunga di laman
Manggis seperdu bunga menjadi
Malang nasibku tiada berteman
Mengemis rindu pada yang sudi

Gula dan beras sajian hidangan
Meratah ikan tetamu disuruh
Rupa dan paras bukan ukuran
Biarlah beriman bertemu jodoh.

Hanya sekadar bersendeloka, jangan terasa hati dan gundah gulana, minta maaf dan terima kasih.

Seorang wanita Sufi, iaitu Rabiatul Adawiyah ketika pergi ke pelabuhan  dan mahu berlayar ke suatu tempat. Semasa mahu laut bergelora ribut bertiup kencang sehingga semua penumpang kapal dalam ketakutan. Dalam kelam kabut mereka menemui seorang wanita sufi, iaitu Rabiatul Adawiyah. “Wahai Rabiatul Adawiyah kami dengar doamu makbul, tolong doakan agar laut jangan bergelora dan angin taufan berhenti agar kita cepat berlayar”. Lalu Rabiatul Adawiyah berpusing muka dan tunduk. Selepas itu laut bergelora kembali tenang dan angin kembali seperti sedia kala. Mereka bertanya kepada Rabiatul Adawiyah; apakah yang menyebabkan doamu bergitu mustajab? Jawab Rabiatul Adawiyah saya tidak berbuat apa-apa cuma saya redha dengan apa yang berlaku.

            Jadi dengan redha kepada Allah SWT terhadap apa-apa yang telah berlaku Allah SWT boleh memperkenankan doa seseorang. Jika mahu doa mustajab redhalah dengan apa yang telah berlaku. Dalam masa yang sama sabar dalam menghadapi ujian. Redha dengan apa yang telah berlaku fikirkanlah apa yang akan berlaku. Rancang dengan baik agar kesilapan jangan berulang. Jangan sekali-kali berkalau-kalau dengan apa yang telah berlaku. Redha dengan takdir. Hal ini dijelaskan oleh Nabi SAW dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Muslim
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

Dari Abu Hurairah r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW  bersabda, Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada Mukmin yang lemah, dan pada keduanya ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan apa yang bermanfaat bagimu dan mintalah pertolongan kepada Allah (dalam segala urusanmu) serta janganlah sekali-kali engkau merasa lemah. Apabila engkau tertimpa musibah, janganlah engkau berkata, Seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan begini dan begitu, tetapi katakanlah, Ini telah ditakdirkan Allah, dan Allah berbuat apa saja yang Dia kehendaki, karena ucapan seandainya akan membuka (pintu) perbuatan syaitan.

5.0  Sebab Doa Ditolak
Doa akan ditolak disebabkan melakukan maksiat yang jelas haram, iaitu melakukan sihir, tilik nasib, bermusuhan, minum arak, derhaka dengan orang tua, makan duit riba, memutuskan hubungan saraturrahim dan suka mengadu domba. Doa mereka ini Allah SWT tidak akan pandang. Sekalipun mereka ini memakai serban yang besar, berjubah yang nampak sangat alim. Asbab maksiat yang mereka lakukan Allah SWT tolak semua permohonan mereka. Ada seorang wanita mengadu yang suaminya kaki judi dan arak. Hari-hari main judi dan minum arak. Bila kalah judi balik rumah pukul saya dan anak-anak sebagai tempat melepas geram. Saya sangat sengsara hidup begini. Saya sudah tidak tahan. Lalu saya bawa masalah saya ini kepada bomoh. Saya mahu jadikan suami saya seorang yang taat dengan mendengar kata. Lalu saya meminta suami saya disihir dengan memberi makan nasi kakang. Hasilnya suami saya berubah serta merta daripada seorang yang kaki judi dan minum arak. Dia jadi orang dengar kata. Dia kini tidak lagi berjudi dan minum arak. Dia ikut semua kata. Dia tidak pukul saya dan anak-anak. Cuma suami saya macam orang bodoh, ikut semua kata saya. Saya suruh makan nasi. Dia makan nasi sahaja lauk pauk semua dia tidak peduli. Saya suruh dia minum air, dia minum air sahaja sampailah saya suruh yang lain. Hari-hari saya suruh dia bergerak ikut bergerak ikut arahan. Tanpa arahan dia akan duduk dan diam sehingga disuruh yang lain baru bergerak. Perkara ini dah berlaku dah beberapa tahun sehingga sekarang. Sekarang saya sudah insaf dan tidak mahu suami jadi sebegini selamanya. Saya sudah pergi kepada nenek yang saya suruh sihirnya. Malangnya nenek itu sudah meninggal.

            Orang yang melakukan sihir ini tidak akan diterima doanya sehingga dia bertaubat. Tidak kira dia buat sihir dengan musuh politik, kekasih dan sebagainya. Doa mereka ditolak oleh Allah SWT. Sebab itu jika mahu doa dimakbulkan oleh Allah SWT pastikan kita memenuhi syarat yang telah ditetapkan.

6.0  Penutup
Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Pengasih. Semua doa dan permintaan hambaNya pasti akan diperkenankanNya jika cukup syarat yang telah ditetapkan. Tiadalah Allah SWT melupai hambaNya walau sedetikpun, yang selalu lupa kepadaNya ialah hamba. Lebih-lebih lagi ketika diberikan kesenangan dan kemewahan. Walau sebesar manapun dosa seorang hamba pasti akan diampunkan oleh Allah SWT. Bertapa besarnya kasih sayang Allah SWT kepada semua. Allah SWT akan mengampun semua dosa hambaNya kecuali dosa syirik. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firmanNya dalam surah an-Nisa ayat 48

 Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka Sesungguhnya ia telah melakukan dosa Yang besar.

Tuesday, February 16, 2016

KEHIDUPAN YANG LALAI DENGAN DUNIA



KEHIDUPAN YANG LALAI DENGAN DUNIA
Yahya Bakeri
UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK
20 FEBRUARI 2016/11 JAMADIL AWAL 1437H
6AM

1.0  Pengenalan
Kehidupan dalam dunia ini banyak cobaan onak dan duri. Hidup seorang mukmin akan menjadikan dunia ini sebagai alat untuk mencari kebahagiaan yang kekal abadi. Mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan ajakan dunia sekalipun pelbagai godaan yang datang. Bagi mereka dunia ini hanya tipu daya semata-mata. Namun mereka tidak juga melupai dunia kerana dunia adalah alat orang mukmin untuk mencari kehidupan yang sebenar di akhirat, iaitu kehidupan di syurga yang kekal abadi selamanya tidak seperti dunia ini sementara dan akan terputus segalanya bila tiba waktu kematian. Semua harta kekayaan, anak-anak, isteri, rumah, emas belian semuanya akan jadi milik yang hidup bila berlaku kematian.

2.0  Kehidupan Seorang Mukmin
Seorang mukmin yang sejati ialah seorang mukmin yang kuat dalam segala yang baik. Sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayat oleh Muslim
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

Dari Abu Hurairah r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW  bersabda, Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada Mukmin yang lemah, dan pada keduanya ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan apa yang bermanfaat bagimu dan mintalah pertolongan kepada Allah (dalam segala urusanmu) serta janganlah sekali-kali engkau merasa lemah. Apabila engkau tertimpa musibah, janganlah engkau berkata, Seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan begini dan begitu, tetapi katakanlah, Ini telah ditakdirkan Allah, dan Allah berbuat apa saja yang Dia kehendaki, karena ucapan seandainya akan membuka (pintu) perbuatan syaitan.

Kata Syekh Abdul Rahman bin Nasir as-Sakdi dalam kitab beliau Syarah Jawamiu Al-Akbar, katanya orang mukmin yang kuat ada empat golongan iaitu :

a.       Orang mukmin yang menuntut ilmu dan menyampaikan ilmu yang bermanfaat.
b.      Beramal soleh dan gigih bekerja
c.       Sentiasa mengajak dalam kebenaran
d.      Suka memberi nasihat, nasihat menasiahati dengan kesabaran.

Dalam hadis diatas menyatakan jangan berkalau-kalau dengan apa yang telah berlaku. Bekerja kuatlah selepas ini supaya hasil yang diinginkan mencapai apa yang dirancang. Perkara yang berlaku anggaplah ia sebagai takdir yang telah ditetapkan serta sabar dalam menghadapinya. Semua manusia inginkan kepada kekayaan. Ramai yang mahu senang tapi malas. Malas bekerja, tidak menepati masa, buang masa dengan melepak, banyak tidur dan lebih teruk ialah malas beribadah.

      Dalam kajian 10 yang kaya dalam dunia dan di Sarawak. Semua mereka yang kuat bekerja. Antara mereka ialah  Ting Pek Khing yang paling kaya di Sarawak. Lihat kepada sikap mereka untuk mendapatkan tander kerajaan. Ketika zaman Tun Abdullah Badawi. Beliau sanggup menunggu lama dalam hotel tempat penginapan Tun Abdullah ketika itu, sehingga beliau dapat berjumpa dangan Tun Abdullah. Walau banyak kali beliau dihalau berkali-kali daripada hotel semata-mata mahu menyerah sendiri kertas cadangan untuk projek-projek kerajaan. Kesungguhan beliau membuahkan hasil, lihatlah kekayaanya. Pernah beliau meminjam wang daripada bank untuk membeli keperluan projek iaitu, lori penganggkut tanah. Syarikat beliau lambat membuat bayaran sebab projek kerajaan biasa seperti itu, pihak bank cuba untuk menarik balik semua lori yang dibeli. Beliau dengan selamber mempersilakan pihak bank tarik semua lori yang digunakan. Beliau bijak berilmu dan dalam masa yang sama rajin berusaha.

Mahu kaya kena bersusah dan sanggup berusaha bukan tunggu bulan jatuh ke riba. Jika nilai 1billion bersamaan 1000juta. Jika RM1 setiap 1 saat diambil dari bank untuk kumpul 1billion atau 1000juta mengambil masa 33tahun. Cuba bayangkan dengan kaedah yang sama ambil RM1juta dari bank setiap saat RM1 mengambil masa 30hari termasuk Sabtu Ahad. Maksudnya di sini bukan untuk kaya, mahu kaya kena berusaha kerja kuat jangan sikit-sikit tidur.

3.0  Mahu kaya banyakkan bersedekah
Mereka yang mahu kaya, banyakan bersedekah. Belum lagi jumpa yang bersedekah jatuh miskin dan papa, yang banyak ditemui dengan bersedekah mereka makin kaya dan kaya. Dalam Islam dengan banyak memberi akan kesan yang sangat ajaib. Makin mereka banyak memberi dan bersedekah semakin mereka dianugerah kekayaan, walau kekadang rezeqi itu tidak disangka-sangka. Dengan bersedekah ia memberi kesan kepada diri dan ummah. Mereka akan dihormati dan disayangi oleh masyarakat. Masyarakat akan hidup harmoni dan orang kaya juga akan bahagia sebab semua hak masing-masing dipenuhi. Berbeza dengan menyimpan ia hanya memberi kesan kepada diri dan keluarga sahaja. Masyarakat akan timbul perasaan tidak puas hati dan dengki dengan orang kaya. Akibatnya orang kaya tidak aman sebab sering diganggu orang miskin. Kesannya masyarakat akan berpecah dan musnah sebab hak masing-masing tidak ditunaikan.

            Setiap makhluk adalah berbeza dari segi rezeqi masing-masing. Sebab itu dalam al-Quran Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahlu ayat 71
 
Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakanNya. Dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian dari kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?

Kehidupan manusia terbahagi kepada empat golongan iaitu, golongan fakir miskin, sederhana, kaya dan sangat kaya. Mungkin kita tidak pernah mendengar harga pengetip kuku RM800. Apabila ditanya ada ke tidak yang sanggup beli pengetip kuku yang berharga semahal itu? Pemilik kedai kata: ada yang sanggup beli sekalipun harga mahal. Jika harga pengetip kuku yang mahal mereka sanggup beli dan zakat yang hanya 2.5% tidak mampu nak bayar memang sangat teruklah manusia ini. Namun jika mereka bermewah dengan harta dimiliki dan mereka juga orang yang membayar zakat serta banyak bersedekah. Maka Islam tidak pernah melarang untuk mereka bermewah, kerana mereka sudah melaksanakan tanggungjawab. Sekiranya mereka bermewah, dalam masa yang sama mengabaikan tanggungjawab berzakat mereka wajib diperangi.

4.0  Allah SWT Jadikan MakhlukNya Rezeqi yang Berbeza

Allah SWT menjadikan manusia dan makhluk lainnya. Tidak semuanya sama. Ada yang miskin dan ada yang kaya. Sebab itu Allah SWT nyatakan surah as-Syu’ara ayat 27 firmanNya

Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya ia mengetahui dengan mendalam akan Segala keadaan hambaNya, lagi melihat dengan nyata.

Dunia akan hura hara jika Allah SWT jadikan semua sama rata dan semua kaya. Indahnya kehidupan dunia sebab semuanya berpasangan. Malam lawannya siang. Pagi lawannya petang. Pasang lawannya surut. Perempuan adanya lelaki. Kaya adanya miskin. Semua cukup sempurna. Namun katakan seluruh warga di taman Husein atau di bandaraya Kuching kaya. Semua dah ada. Semua kaya dan masing-masing ada duit yang banyak. Apa akan terjadi dengan bandaraya Kuching sunyi sepi. Semua tidur dan tidak perlu kerja sebab dah kaya. Bandaraya Kuching akan banyak sampah, kotor, tidak diurus, tiada aktiviti jual beli, tiada suara-suara tawar menawar di pasar, tiada yang buka kedai, tiada yang bangun awal, tiada yang buka stesen minyak. Semua sunyi sepi. Tuan rasa indahkah hidup ini? Tiada yang jual kuih sebab sebab tiada yang buat dan jual tepung. Tiada yang jual kuih bonggol, perahu, rangin, kabab, roti john semuanya warga Kuching sepi. Bas-bas dan teksi tidak bergerak sebab semalam mereka dapat RM1juta. Apa jadi dengan bandaraya Kuching? Bandaraya lumpuh dan hidup ini tidak bahagia sebab semua kaya. Sebab itu Allah SWT jadi setiap sesuatu berpasangan agar dapat bantu membantu. Golongan kaya akan bantu yang susah dengan sedekah dan zakat. Golongan yang berduit membeli barangan. Golongan yang berkedai mengupah orang bekerja dan mereka juga dapat upah hasil kerja masing-masing. Sebab itu perlunya saling membantu antara satu dengan yang lain. Maka hilang rasa dengan golongan miskin dengan orang kaya sebab masing-masing sudah dapat hak. Inilah ajaibnya sedekah makin memberi bersedekah makin kaya. Sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Muslim
ما نقصت صدقة من مال بل تزده بل تزده
Tidak akan berkurang harta yang disedekahkan malah makin bertambah, malah makin bertambah.

            Tidak akan kaya orang yang kedekut dan tidak akan miskin orang yang suka memberi dan bersedekah serta pemurah. Mahu kaya kena banyak memberi. Selalu yang miskin bila masuk melabur di pelaburan yang entah-entah. Nak miskin banyakkan meminta dengan makhluk. Minta duit, makanan, pakaian dan sebagainya. Kena ikut macam perangai orang Cina. Orang Cina bila seorang dia kipas, bila berdua mereka main tikam dan bila bertiga mereka berniaga. Orang putih bila seorang dia membaca, bila berdua mereka mengembara, bila ramai mereka menjajah. Orang Arab bila seorang hisap syisa, bila berdua mereka merempit, bila ramai mereka main bola atau tengok bola. Orang Melayu bila seorang dia tidur, bila berdua mengumpat dan bila bertiga mereka mengeteh perabis duit. Bukan semua ini orang-orang dahulu sahaja. Ini hanya cerita tiada kaitan dengan yang hidup atau mati, hanya cerita rekaan semata-mata.

5.0  Berniaga Usaha untuk Kaya

Saidina Umar al-Khattab bila ditanya jika diberi pilihan untuk mati. Beliau mahu mati dalam keadaan berjihad dan mati dipasar. Orang bertanya kenapa mahu mati di pasar? Jawapan Saidina Umar al-Khattab tidakkah kamu tahu Allah SWT berfirman dalam surah Muzammil ayat 20 dengan firmanNya
 
   
Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agamanya).

Seorang usahawan mesti ada jiwa kepimpinan dalam dirinya. Bukan semua pemimpin boleh jadi usahawan. Seorang pemimpin tidak boleh jadi usahawan. Jika seorang pemimpin itu mahu jadi usahawan dan dia tidak pandai, maka akan hancur usaha bisnesnya. Sebab seorang pemimpin jangan jadi usahawan jika tidak tahu. Jika tidak musnah. Seorang peniaga mesti jujur dengan apa yang didagangkan. Orang yang berniaga ini seperti yang diberitahu oleh Nabi SAW dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi
التاجر الصدوق الأمين مع النبيين والصديقين والشهداء    والصالحين
Peniaga yang benar dan amanah bersama dengan para nabi, siddiqin dan golongan mati syahid  dan para solihin.

Dalam perniagaan semua dibenar kecuali jika ada empat unsur berikut:
a.       Unsur riba
b.      Unsur gharar (penipuan)
c.       Unsur darar (memudaratkan) iaitu zalim dan merugikan
d.      Unsur jaharah (jelas) contoh menjual ikan di laut. Menjual air sarang tabuan sengat 10 hafiz dengan harapan mereka yang minum akan jadi hafiz.

Peniaga yang tidak jujur dan menipu Nabi Muhammad SAW tidak mengaku ummatnya. Ini dijelaskan dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Muslim
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلَاحَ فَلَيْسَ مِنَّا وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا.

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah SAW bersabda, “Siapa yang menodongkan (mengacukan) senjata kepada kita, mereka itu tidak termasuk golongan kita, dan siapa yang menipu kita, tidak termasuk golongan kita juga.

6.0  Rumusan
Firman Allah SWT dalam surah  Qasas ayat 77


Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya Yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".


Kehidupan di dunia ini hanya sementara. Tiada yang kekal abadi. Perabot jati yang kita beli di rumah 30tahun lepas masih lagi seperti mula-mula beli dahulu cuma berdebu hanya perlu dilap ia akan cantik semula. Tidak seperti kita yang 30 tahun lepas seorang yang segak, kuat, bergaya dan hensem. Namun kini sudah lemah, selalu sakit-sakit, pening dan mudah jatuh. Anggota sudah lemah. Nak belumba jauh sekali. Kudrat sudah hilang, mata semakin kabur, otak semakin lemah, langkah semakin longlai. Zaman sudah berubah kita yang 30 tahun lalu sudah berlalu. Sudah tidak segak, tidak hensem lagi dan selalu sahaja pitam. Kembalilah kepada Allah SWT, insafilah segala yang kita miliki tidak lama lagi akan jadi milik orang lain. Harta yang kita kumpul selama 30 tahun lepas akan tidak lama lagi jadi pindah milik. Apa yang kita bawa hanya diri kita. Amalan sedekah dan anak solih hanya akan membantu kita. Sebab itu tuan-tuan, apa yang kita miliki ketika ini habiskanlah banyakkan bersedekah kepada keluarga anak cucu masjid dan orang yang memerlukan di sekeliling kita. Jangan kedekut tidak akan berkurang harta yang digunakan untuk bersedekah seperti yang dinyatakan dalam hadis di atas. Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr ayat 27-30

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ﴿٢٧﴾ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً ﴿٢٨﴾ فَادْخُلِي فِي عِبَادِي ﴿٢٩﴾ وَادْخُلِي جَنَّتِي ﴿٣٠﴾
Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai; lalu masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam surgaKu.